Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak ahli-ahli parti agar menghormati institusi presiden yang disandangnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau dipilih oleh semua ahli parti melibatkan bahagian-bahagian dalam UMNO.

“Kalau saya sebagai ketua bahagian adakah dalam kalangan ketua cawangan kemudian yang memilih kita dahulu sebagai ketua bahagian kemudiannya desak letak jawatan adakan kita mahu letak jawatan?

“Oleh kerana desakan, maka ketua bahagian itu katakan bahawa dia dipilih secara demokrotik. Bukan dilantik tetapi dipilih,” katanya dalam siaran langsung di Facebook NR Channel TV malam ini.

Ahmad Zahid berkata demikian menjawab persoalan moderator, Datuk Rafi Awang Kechik mengenai beberapa desakan bahagian UMNO agar beliau meletakkan jawatan.

Sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd Helmi Buang secara terbuka mendesak Ahmad Zahid berundur.

Menurut Mohd Helmi, pendekatan pemimpin mesti ada perubahan yang ketara mengikut arus zaman.

Katanya, langkah berundur perlu turut sama dilakukan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang sudah berpenggal-penggal memegang jawatan kepimpinan tertinggi, sekali gus memberi ruang dan peluang kepada generasi baharu menggalas tanggungjawab itu.

Justeru itu, Ahmad Zahid berkata, bercuti mahupun melepaskan jawatanya selaku presiden bukan pilihan buat parti tunjang orang Melayu itu.

“Bercuti, berehat dan meletakan jawatan bukan satu pilihan,” tegas beliau.

Ahmad Zahid sebelum ini bercuti selama enam bulan daripada jawatan itu sejak 18 Disember 2018 menyerahkan tugas itu kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut ditanya mengenai parasit atau antah yang masih berada dalam UMNO.

Jelas beliau, UMNO tidak perlu membuat apa-apa kerana golongan itu akan meninggalkan parti itu secara sendirinya.

“Jangan khuatir, antah itu akan keluar sendiri, bila kita tampi sahaja, tiup dia akan terbang sendiri. Pas juga ada antah dan telah terbang, ini lumrah antah akan terbang sendiri,” kiasnya. – MalaysiaGazette