Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bergambar bersama sebahagian daripada penyokong yang hadir selepas selesai menyerahkan surat peguam di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ HAMBALI, 21 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pimpinan penaja Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin telah membuat beberapa kesilapan berhubungan pendaftaran parti itu.

Menurut kenyataan MUDA, pihaknya terpanggil untuk memperbetulkan beberapa fakta yang didapati mengelirukan oleh Hamzah.

“Berkaitan umur minima 16 tahun untuk menjadi ahli parti MUDA, ini tidak betul, perlembagaan kami yang telah dikemaskini dan telah disemak oleh ROS berkali-kali menetapkan umur minima ahli MUDA ialah 18 tahun.

“Mengenai isu maksimum untuk ahli parti yang dibangkitkan, kami ingin menegaskan tiada ditetapkan had umur maksima dalam perlembagaan kami,” kata MUDA.

Pendaftaran ditolak berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 pada sidang media khas mengenai isu permohonan parti Pejuang dan Muda di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 02 FEBRUARI 2021.

Semalam, Hamzah berkata, permohonan yang dikemukakan oleh Muda Malaysia tidak selari mengikut peruntukan Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

Menurutnya, kesalahan editorial pada perlembagaan parti boleh menyebabkan ia disalahgunakan.

Beliau berkata, Perlembagaan Muda Malaysia juga tidak teratur dan tidak jelas.

Dalam pada itu, MUDA turut mendakwa Hamzah tidak mendapat pengetahuan yang betul tentang pendaftaran parti itu daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Sekiranya Menteri tidak diberi taklimat yang betul atau terlepas pandang untuk membaca borang pendaftaran, MUDA itu adalah akronim untuk ‘Malaysian United Democratic Alliance’.

“MUDA ialah parti untuk semua tanpa mengira kaum atau umur. Tiada mana-mana parti politik dalam Malaysia yang menetapkan umur maksima bagi ahli parti,” katanya.

Pada 7 Januari lalu, RoS menolak tanpa sebab penubuhan parti MUDA.

Penolakan pendaftaran parti itu disampaikan melalui satu e-mel setelah hampir empat bulan menghantar permohonan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini mendaftarkan parti baharu itu kepada RoS pada 17 September tahun lalu selain surat peguam berkaitan isu pendaftarannya telah diserahkan pada 21 Disember lepas. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.