Razaly Mat Sari keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas membayar denda RM50,000 yang dijatuhkan ke atasnya oleh Hakim Azura Alwi. Foto HAFIZ SOHAIMI, 04 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Dua orang ahli perniagaan yang cuba menipu kononnya mampu mengubah seksyen kesalahan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) akhirnya menjerat diri.

Kedua-dua tertuduh telah memperdaya seorang pengarah syarikat, Norazman Mohd Nor untuk membantu mengubah seksyen kesalahan kes siasatan SPRM ke atasnya daripada Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kepada Seksyen 25 (1) Akta sama.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Hussein dan Razaly didakwa bersama-sama menipu Norazman sehingga mangsa bertindak menyerahkan wang tunai RM40,000 di sebuah lobi hotel di Putrajaya pada 16 Disember tahun lalu sekitar 4.10 petang.

Tertuduh kemudian didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 417 dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim Mahkamah Sesyen KL, Azura Alwi menjatuhkan hukuman penjara seminggu dan denda RM50,000 ke atas Mohd Hussein Mohd Nasir, 5.

Manakala Razaly Mat Sari dikenakan denda RM50,000 selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan itu.

Azura dalam penghakimannya turut menetapkan tambahan hukuman lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Difahamkan Razaly membayar wang denda berkenaan.

Ketika membuat rayuan pagi tadi, peguam bela tertuduh, Adha Amin dan Fahmi Abd Moin memohon anak guam mereka dijatuhi hukuman minimum dengan alasan menjadi penanggung utama keluarga, selain menghidap penyakit asma kronik.

Hujah mereka, kedua-dua suspek bukan sahaja telah memberikan kerjasama sebelum ini, malah akan menjadi saksi pendakwaan dan berjanji akan bekerjasama dengan pihak berkuasa selepas ini.

Namun Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudddin Wan Ladin memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana membabitkan kesalahan serius dan tidak boleh dikompromi.

“Apa yang dilakukan oleh mereka sebenarnya bertentangan dengan polisi awam kerana ia mencerminkan seolah-olah jabatan kerajaan boleh dirasuah, ini adalah kesalahan serius,” tegasnya. -MalaysiaGazette