Nik Saiful Adli (tengah) bersama barisan Sekretariat Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia membuat laporan di Balai Polis Melor, dekat Kota Bharu, hari ini terhadap Tommy.

KOTA BHARU – Buku memoir bertajuk, “My Story: Justice in the Wildnerss” tulisan Tan Sri Tommy Thomas yang kini berada di pasaran, banyak mengandungi perkataan dan maklumat yang menjadi rahsia sulit kerajaan.

Exco yang juga Pengerusi Sekretariat Peguam Muda, Pemuda UMNO Malaysia, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, sebagai Peguam Negara, yang juga penasihat undang-undang kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia ketika itu, adalah terikat dengan akuan sumpah menyimpan rahsia yang diikrarkan sewaktu dilantik ke jawatan tersebut.

Katanya, pendedahan dibuat Tommy dalam buku itu boleh memberi gambaran tidak baik oleh masyarakat dan rakyat terhadap pelaksanaan sistem perundangan serta kehakiman di negara ini.

“Sekretariat Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia membantah dengan tegas terhadap penulisan Tommy dalam bukunya itu, yang baharu diterbitkan baru-baru ini.

“Kami berpeluang meneliti sebahagian kandungan buku tersebut yang dimuat naik di internet dan mendapati ianya mengandungi perkataan serta maklumat yang menjadi rahsia sulit kerajaan Malaysia.

“Kami percaya undang-undang itu bukan sahaja perlu telus dan adil, tetapi sewajarnya diyakini sebagai adil, barulah perundangan dan kehakiman negara ini dilihat suci oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama barisan Sekretariat Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia membuat laporan di Balai Polis Melor, dekat Kota Bharu, tengah hari ini, meminta pihak berkuasa menyiasat bekas Peguam Negara itu.

Nik Saiful Adli yang merupakan seorang peguam turut membidas Tommy dengan mempersoalkan, apakah keseluruhan penjawat awam dalam bidang perundangan dan kehakiman wajar tercalit dengan penceritaan kisah hitam sebagaimana diceritakannya.

Sedangkan, katanya, mereka hanya berkhidmat kepada negara dan rakyat mengikut peruntukan undang-undang tidak kira siapa yang menjadi pemerintah atau siapa yang menjadi Peguam Negara.

“Kami berpandangan perlu diletakkan titik noktah kepada pencabulan sistem perundangan dan kehakiman sama ada oleh penjawat awam, mahu pun oleh ahli politik supaya sistem perundangan dan kehakiman bersih telus serta adil dalam menjalankan fungsi badan tersebut.

“Segala ulasan Tommy dalam buku tersebut banyak mengandungi peristiwa dan maklumat sulit yang kami anggap bukanlah untuk pengetahuan dan pembacaan umum,” katanya.

Beliau berkata, dari aspek perundangan, pihaknya percaya ianya perbuatan yang menjadi undang-undang terutama melibatkan pendedahan maklumat sulit kerajaan yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 serta Seksyen 203A Kanun Keseksaan.

“Pemuda UMNO Malaysia percaya satu tindakan sewajarnya harus diambil bagi menyiasat penulis buku tersebut serta menghentikan penerbitan dan penyebaran buku berkenaan seandainya mengandungi rahsia rasmi kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast