Foto Instagram Amyra Rosli.

KUALA LUMPUR – Pasangan pelakon, Amyra Rosli dan Amar Bahrin menjadi perhatian netizen selepas berkongsi gambar majlis sambutan hari jadi anak bongsu mereka, Ayra Arissa.

Kekocahan itu tercetus selepas Amyra menunjukkan mereka sekeluarga sedang mengadakan ‘photoshoot’ namun gambar kedua-dua anak pasangan itu termasuk anak sulung, Aqeef Anaqi sedang ‘bermain’ dengan kek hari jadi tersebut.

Insiden itu telah mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen kerana kek merupakan satu jenis makanan yang sepatutnya dimakan dan bukannya dibuat main.

Malah, mereka juga mengatakan tindakan itu adalah satu pembaziran lebih-lebih lagi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Pada masa sama, mereka turut menasihati Amyra dan Amar mendidik anak-anak agar mensyukuri rezeki dan menghargai makanan.

Sementara itu, Amyra telah memuatnaik satu status di IG Story miliknya menjelaskan bahawa kek yang ‘dimain’ oleh anak-anaknya itu adalah krim sahaja dan bukannya kek seperti yang difikirkan.
Malah, dia juga sempat meminta netizen supaya bertenang sebaliknya fokus dengan perkara yang lebih penting dan bermanfaat sepanjang tempoh PKP ini. – MalaysiaGazette