Tengku Zafrul Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan telah memanfaatkan 20 juta individu dan 2.4 juta perniagaan.

Selain itu, lebih daripada 50% inisiatif telah disalurkan.

Menteru Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, walaupun negara mengalami defisit fiskal tetapi kerajaan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat, buktinya menerusi perbelanjaan tambahan melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi pada tahun 2020.

Daripada jumlah ini, sebahagian besar inisiatif ini termasuklah bantuan segera dan tunai seperti Bantuan Prihatin Nasional, Geran Khas Prihatin, Subsidi Upah dan pelbagai langkah yang lain untuk melindungi rakyat dan memastikan kelangsungan perniagaan.

Ia dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara sehingga empat mata peratusan pada tahun 2020.

Menurut beliau, pengesahan penarafan hutang Malaysia yang kekal pada tahap A3 oleh Moody’s baru-baru ini menunjukkan kepercayaan kepada kecekapan pengurusan ekonomi negara ini semasa menghadapi krisis.

Pengesahan itu juga menunjukkan keyakinan atas kekukuhan kawalan disiplin fiskal dan prospek mampan pertumbuhan jangka sederhana.

”Bagi rakyat biasa, ia bermakna kerajaan masih mampu untuk melaksanakan program pemulihan ekonomi mengikut jadual yang
dirancang,” katanya.

Tambah Tengku Zafrul, pemulihan ekonomi juga akan mewujudkan pekerjaan baharu, yang mana kerajaan mensasarkan 500,000 pekerjaan baru pada tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kewangan akan membuat pembayaran kepada hampir 52,000 pemilik perusahaan kecil dan sederhana (IKS) mikro yang merayu terhadap Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0 mulai esok.

Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM155 juta.

Jumlah keseluruhan penerima GKP termasuk GKP 1.0 adalah hampir 900,000 PKS mikro dengan nilai bantuan kewangan RM2.7 bilion. – MalaysiaGazette