Polis menunjukkan sebahagian daripada ganja mampat seberat 149.23 kilogram yang cuba diedar menggunakan lori treler ketika di sidang media IPK Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 04 FEBRUARI 2021.

SHAH ALAM – Cubaan sindiket pengedaran dadah menggunakan lori treler yang membawa barang keperluan untuk menyeludup ganja mampat seberat 149.23 kilogram berjaya dipatahkan polis dalam empat serbuan berasingan di Subang Jaya, Seremban dan Kuala Lumpur, 1 Februari lalu.

Timbalan Pengarah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, ganja bernilai RM373,075 itu dirampas ketika dua suspek sedang memunggah dadah ke dalam kereta di kawasan Perindustrian Subang Jaya.

“Walaupun dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pengedar dadah ini masih degil dan mengambil kesempatan terhadap kelonggaran yang diberikan dengan menggunakan pengangkutan perkhidmatan essential (keperluan).

”Semasa pihak polis sampai di tempat kejadian dapat maklumat daripada orang awam, dua suspek sedang memunggah barang dari sebuah treler untuk dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan kenderaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Timbalan Pengarah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat menunjukkan ganja mampat seberat 149.23 kilogram berjaya dipatahkan polis ketika di sidang media IPK Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 04 FEBRUARI 2021.

 

Dalam serbuan di lokasi berasingan jam 6.15 pagi hingga 7 pagi itu, pihak polis turut memberkas empat suspek warga tempatan dan seorang warga Kemboja berstatus penduduk tetap berumur antara 35 hingga 43 tahun.

“Suspek dipercayai menyeludup dadah dari negara jiran ke utara dan dibawa untuk pengedaran ke selatan negara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

“Hasil siasatan awal, sindiket dadah mula aktif menjalankan aktiviti penyeludupan dadah sejak pertengahan tahun lepas,” katanya.

“Selain dua suspek yang diberkas ketika sedang memunggah dadah dari treler, tiga serbuan dibuat di Desa Petaling dan Pandai Dalam, Kuala Lumpur dan Seremban, Negeri Sembilan,” jelasnya.

Siasatan awal juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau kecuali warganegara Kemboja yang berstatus penduduk tetap.

“Kesemua empat suspek lain mempunyai rekod curi, dadah dan jenayah serta mereka pernah ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas,” katanya.

Dalam serbuan sama, polis juga merampas wang tunai berjumlah RM51,500, empat kenderaan dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dengan keseluruhan rampasan bernilai RM879,575. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast