KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohamed Apendi Ali tidak akan sesekali mendedah sebarang maklumat kepada umum meskipun beliau pernah menggalas jawatan Peguam Negara ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Mohamed Apendi menegaskan, beliau pernah menghasilkan buku memoir sendiri, namun tidak pernah berkongsi apa yang berlaku sewaktu menerajui Jabatan Peguam Negara kerana ia adalah rahsia negara.
“Walaupun saya dilemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah semasa saya menjadi Peguam Negara, saya tidak akan sekali-kali melepaskan satu pun cerita atau maklumat.
“Walaupun dalam buku-buku memoir saya kerana semua yang saya tahu adalah rahsia negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.
Terdahulu Mohamed Apendi yang diiringi peguamnya membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung buku kontroversi tulisannya bertajuk My Story: Justice in the Wildness.
Mohamed Apendi membuat laporan polis itu untuk memastikan semua pihak yang telah dianiaya, difitnah dan dihina dalam buku yang ditulis oleh Tommy mendapat keadilan.
“Terutamanya pegawai-pegawai perundangan di dalam Jabatan Peguam Negara yang sedang berada dalam dilemma.
“Mereka mahu membela diri tetapi ini bermaksud mereka terpaksa juga melawan bekas ketua mereka,” katanya.
Beliau juga menyifatkan segala tuduhan Tommy dalam bukunya itu sebagai tidak menghargai beberapa nama besar yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara.
“Apa yang terkandung dalam buku Tommy Thomas menunjukkan sifat beliau yang memandang rendah dan tidak menghargai individu-individu yang merupakan tulang belakang perundangan negara.
“Saya ingin nyatakan betapa mulia dan rajin pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara semasa saya menjadi Peguam Negara, yang tidak kenal penat dan sanggup kerja tanpa mengenal masa,” katanya. – MalaysiaGazette
















