Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Eksport barangan getah Malaysia sepanjang 2020 telah meningkat 73.9 peratus, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Prestasi baik ini memberi sumbangan sebanyak RM40.97 bilion kepada pendapatan negara.

Menurutnya, peningkatan ini  disebabkan oleh permintaan yang tinggi sarung tangan Malaysia.

“Peningkatan ini didorong oleh permintaan yang tinggi oleh sektor perubatan dan kesihatan seluruh dunia, dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

”Terkini, produk ini menyumbang hampir 90 peratus kepada pendapatan eksport barangan getah negara, dengan sarung tangan Malaysia menguasai lebih 60 peratus pasaran dunia,” katanya menerusi kenyataan.

Perkembangan positif ini ujar beliau lagi, menyebabkan lebih ramai pekerja diperlukan.

“Berdasarkan anggaran oleh Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), industri ini memerlukan sebanyak 34.7 peratus atau 25,000 lagi pekerja baharu,”katanya lagi.

KPPK menurut beliau lagi, melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) telah menyediakan dana subsidi upah sebanyak RM36 juta untuk menggalakkan industri hiliran getah negara mengambil pekerja tempatan dalam industri tersebut.

“KPPK terus komited untuk memudah cara dan memantau operasi sektor industri sarung tangan getah untuk kekal beroperasi dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Khairuddin.-MalaysiaGazette