Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang Ketua Balai Polis berpangkat Inspektor di negeri Selangor telah ditahan selepas dikesan positif dadah kelmarin.

Pegawai berkenaan disahkan positif dadah jenis Methaphethamine menerusi ujian saringan air kencing di balai polisnya.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman (JIPS) , Datuk Zamri Yahya berkata, ujian saringan dilaksanakan ke atas pegawai berkenaan dan juga tujuh lagi anggota polis di balai polis yang sama berdasarkan maklumat awam.

Katanya, polis menerima maklumat mengatakan pegawai berkenaan dan tujuh anggotanya menghadiri sebuah parti liar dadah di sebuah kondominium mewah di ibu negara.

“Kami terima maklumat mengatakan Inspektor itu dan tujuh lagi anggotanya pergi ke parti dadah beberapa hari sebelum itu.

“Bertindak atas maklumat itu, JIPS Bukit Aman menjalankan pemeriksaan mengejut ke balai polis berkenaan sebelum melibatkan ketua balai dan kesemua anggota itu dalam ujian saringan air kencing.

“Hasilnya mengesahkan Inspektor itu positif dadah manakala tujuh lagi anggotanya di balai berkenaan negatif,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, sampel air kencing itu telah dihantar ke makmal Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut.

Pada masa yang sama, polis meneruskan siasatan ke atas pegawai kanan itu sementara menunggu keputusan jabatan kimia.

Beliau juga memaklumkan bahawa tindakan mahkamah akan menyusul ke atas pegawai kanan itu jika keputusan ujian makmal juga menunjukkan hasil sama.

“Pendakwaan di mahkamah akan dijalankan ke ayas OCS (Ketua Balai Polis) tersebut sekiranya hasil ujian makmal beliau juga positif dadah.

“Sementara menunggu keputusan makmal jabatan kimia itu, tindakan juga sedang diaturkan untuk memindahkan beliau (Inspektor) ke ‘non active duty’,” tegas beliau.- MalaysiaGazette