Gambar daripada Facebook Zarra Zarina Jaffar yang menunjukkan beberapa anggota polis tidak memakai pelituk muka dan hidung di tempat awam.
Gambar daripada Facebook Zarra Zarina Jaffar yang menunjukkan beberapa anggota polis tidak memakai pelituk muka dan hidung di tempat awam.

KUALA LUMPUR – Ibu pejabat Polis Kontijen Selangor (IPK) akan mengambil tindakan terhadap beberapa pegawainya yang didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

Dalam satu kenyataan, IPK itu berkata, pihaknya bertindak demikian setelah tular beberapa keping gambar yang menunjukkan dua orang pegawai polis beruniform tidak memakai pelitup muka dan hidung.

“Pihak polis akan mengambil tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021 serta tindakan siasatan tatatertib,” tegas IPK Selangor dalam satu kenyataan hari ini.

Pelayar Facebook, Zarra Zarina Jaffar yang memuatnaik empat keping gambar mempersoalkan tindakan anggota keselamatan berkenaan.

Beliau yang memuatnaik gambar itu pada Rabu lalu berkata perkara itu dirakam di Kompleks Muhibbah Taman Nirwana di Ampang ketika waktu tengahari.

“Kalau kita rakyat biasa tak pakai face-mask di tempat public cepat je nak di saman… Tolong viral dan ambil tindakan terhadap Pak Polis nie untuk jadi iktibar pada semua pegawai penguat kuasa..” tulis beliau.

Dalam pada itu, pihak IPK Selangor menugcapkan terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh orang awam.

“Siasatan secara telus akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan serta tidak akan berkompromi atau melindungi sebarang salah laku melibatkan mana-mana pegawai dan anggota polis khususnya di Kontinjen Selangor,” kata pihak IPK lagi. – MalaysiaGazette