KUALA LUMPUR – Kira-kira 12,000 unit rumah mampu milik akan dibina menerusi Projek Residensi Prihatin di Putrajaya, awal tahun ini.
Rumah tiga bilik tidur, dua bilik air itu akan dijual khusus kepada penjawat awam dan pasangan keluarga muda pada harga RM200,000 seunit.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau sendiri akan melancarkan projek itu di Putrajaya pada 22 Februari ini, yang mengambil tempoh 24 hingga 30 bulan untuk siap.
Kata beliau, 12,000 unit itu adalah pembinaan permulaan di Putrajaya, sebelum diperluaskan untuk keperluan penjawat awam dan pasangan keluar muda di Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Lumpur.
“Selain penjawat awam dan pasangan keluarga muda, mereka berpendapatan bawah RM5,000 juga boleh memohon menerusi portal KWP mulai sekarang.
“Pembinaan perumahan Residensi Prihatin ini adalah sebahagian daripada 8,000 unit rumah di bawah program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang tergendala sebelum ini,” katanya dalam satu majlis di Kota Bharu, semalam.
Mengenai lokasi projek di Putrajaya itu, Annuar berkata, rumah itu dibina di kawasan strategik termasuk berhampiran pengangkutan awam seperti di Presint 7 dan Presint 9.
Beliau yakin projek itu akan mendapat sambutan, memandangkan ramai pemohon gagal membeli rumah berharga RM300,000 menerusi Program Rumah Wilayah yang ditawarkan sebelum ini.
Dalam pada itu, Annuar turut membuat keputusan mengubah suai projek tersebut kepada Residensi Prihatin setelah mendapat persetujuan Kabinet.
“Kita juga akan buka tender kepada pemaju untuk projek rumah ini dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette
















