Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Hampir satu tahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk bersama parti Bersatu, Pas dan UMNO mentadbir tetapi belum kedengaran suara hendak melaksanakan hukum hudud atau RUU355.

Sebelum ini, pada Februari 2017, ketika Barisan Nasional (BN) masih memerintah, pemimpin kanan dari Pas lantang menuntut diadakan pindaan pada Rang Undang-Undang (RUU) 355 sehingga sanggup melakukan himpun besar-besaran di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Kini, tegas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selepas hampir setahun Pas menjadi sebahagian dari pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kenapa diam membisu.

Katanya, laungan Pas untuk melaksanakan hukum hudud juga telah mendapat kelulusan dua negeri iaitu Kelantan pada 1993 dan Terengganu pada 2000, tetapi sampai sekarang tidak dilaksanakan.

“Padahal dua negeri yang ditadbir oleh Pas iaitu Kelantan dan Terengganu telah mendapat persetujuan sebulat suara dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Tetapi, kenapa tidak boleh laksana? Adakah sebab Pas tidak mempunyai kuasa politik di peringkat kerajaan pusat?

“Hari ini sebuah kerajaan Melayu Islam telah terbentuk dengan menteri agama adalah bekas Mufti (Wilayah Persekutuan). Menteri Undang-undang pula dari parti Islam (Datuk Takiyuddin Hassan),” katanya yang dipetik menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Malah, kata beliau, majoriti ahli Kabinet kerajaan PN adalah Melayu dan Islam, melainkan Datuk Seri Wee Ka Siong, Datuk Seri M. Saravanan dan Datuk Seri Ronald Kiandee yang bukan beragama Islam.

“Begitu Peguam Negara bukan lagi Tan Sri Tommy Thomas tetapi Tan Sri Idrus Harun, orang muslim dan keseluruhannya kuasa politik sekarang ini di tangan kerajaan Melayu Islam.

“Atas prinsip memperjuangkan hukum Islam, maka ahli Parlimen Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) harus buktikan kesungguhannya.

“Tetapi, mati (senyap) di situ. Sekarang setahun sudah menjadi kerajaan. Tiada kertas kabinet untuk laksanakan RUU355 dibentangkan oleh menteri agama atau menteri undang-undang. Tiada dibentang dalam kabinet bermaksud tiada juga dibentangkan dalam Parlimen,” katanya.

Namun, katanya, agak pelik juga apabila tidak ada sebarang desakan di Parlimen oleh 18 Ahli Parlimen parti Islam termasuk Abdul Hadi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yang bising ini akan menyokong ke kalau di bentangkan di Parlimen. Masa dulu pun tidak sokong, rasanya sekarang pun sama.

Comments are closed.