Jumlah individu yang ditahan atas kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak pernah berkurangan, malah semakin bertambah setiap hari.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jumlah individu yang ditahan atas kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak pernah berkurangan, malah semakin bertambah setiap hari.

Contohnya, dalam operasi pematuhan semalam, polis menahan seramai 789 individu atas beberapa kesalahan, dan agak ketara ialah tidak memakai pelitup muka 191 orang, kesalahan cubaan merentas negeri atau daerah (160), dan tidak menjaga penjarakan fizikal (110 orang).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah penahanan itu, 764 dikenakan kompaun masing-masing RM1,000 tiap seorang, manakala 21 lagi direman dan empat dijamin.

Ismail Sabri Yaakob

Kata Menteri Kanan (Keselamatan) itu, seramai 41 orang ditahan kerana keluar rumah tanpa alasan munasabah, selain premis perniagaan beroperasi lebih dari masa dibenarkan.

Bagi Operasi Benteng, pihak berkuasa telah menangkap seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan turut merampas empat kenderaan darat yang digunakan untuk menyeludup manusia.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 79 bot atau kapal di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau menyatakan, Operasi Benteng turut melibatkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain.

Mereka katanya, ditempatkan di 540 sekatan jalan raya menerusi Op Penawar 484 SJR, Op Benteng 47 SJR dan Op Benteng AKSEM sembilan SJR.

Mengenai kuarantin wajib, sehingga semalam, kata beliau, 1,013 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan telah dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.

Menurutnya, sejak 24 Julai tahun lalu, seramai 117,892 individu telah pulang ke tanah air dan semua mereka ditempatkan di 74 hotel dan 14 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta.

“Seramai 7,255 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya 110,148 orang dibenarkan pulang, manakala 489 lagi dibawa ke hospital,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast