Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti melibatkan Penjara Bentong di Pahang dan Penjara Taiping di Perak sehingga 22 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh itu dilanjutkan dua minggu lagi mulai jam 12.01 tengah malam esok selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan masih terdapat peningkatan kes positif di dua penjara itu.

Katanya, bagi Penjara Bentong dan Kuarters Kakitangan Kerajaan, tempoh PKPD sepatutnya tamat tengah malam ini, tetapi memandangkan daripada 2,085 ujian saringan dilakukan, sebanyak 767 kes positif Covid-19 direkodkan.

“KKM juga turut mengesahkan masih terdapat peningkatan kes positif di penjara ini, di mana sebanyak 13 kes positif terakhir telah dilaporkan pada 5 Februari lalu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Penjara Bentong dan Kuarters Kakitangan selama 14 hari lagi bermula 9 hingga 22 Februari ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, PKPD bagi Penjara Taiping dan Kuarters Kakitangan Kerajaan juga sebelum ini sepatutnya tamat esok, tetapi kerana masih ada 112 kes positif dari 544 ujian saringan, kerajaan terpaksa melanjutkan dua minggu lagi.

KKM katanya, turut mengesahkan terdapat 40 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan terdapat tahanan yang masih bergejala.

Namun, kata beliau, bagi Blok Transit (Blok Muhasabah) Penjara Jelebu, Negeri Sembilan, tempoh PKPD ditamatkan hari ini, selepas semua 49 kes positif yang ditempatkan di lokaliti itu telah sembuh sepenuhnya dan 69 tahanan juga telah tamat tempoh HSO.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti ini mulai hari ini, iaitu tarikh yang dijadualkan tamat kira-kira dua minggu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri turut menyatakan, seramai 7,003 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 28 orang disahkan positif Covid-19.

Jelas beliau, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan kepada mesyuarat khas pagi ini, bahawa secara kumulatifnya, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 312,623 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 melibatkan 13,533 majikan.

Daripada jumlah itu, 6,093 pekerja telah disahkan positif Covid-19, manakala 306,530 lagi negatif dan sehingga kini juga, 1,268 klinik terlibat dengan program saringan itu.

“Bermula 1 Februari lalu, kerajaan mewajibkan semua majikan di seluruh negara memastikan pekerja masing-masing menjalani ujian saringan Covid-19 dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan,” katanya. – MalaysiaGazette