Sindiket judi online didalangi enam suspek warga China di servis apartmen di Mont Kiara, Kuala Lumpur ditumpaskan semalam.

KUALA LUMPUR – Sindiket judi online didalangi warga asing digempur oleh polis di Mont Kiara  semalam.

Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Brickfields telah menyerbu premis perjudian itu yang berselindung di sebalik sebuah servis apartmen sekitar jam 7 malam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam serbuan itu, polis telah berjaya menahan empat orang lelaki dan dua orang wanita warga China.

Katanya kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun.

“Dalam serbuan itu, pihak polis telah merampas beberapa barangan iaitu tiga buah komputer riba pelbagai jenama, 10 buah telefon pelbagai jenama, sebuah keyboard, tiga tetikus, tiga modem USB dan tiga modem.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti perjudian atas talian bagi pasaran negara China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Anuar, sidiket itu terlibat dalam kegiatan haram itu lebih kurang enam bulan lalu.

Jelas Anuar, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 39(b)/6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

Malah katanya,soal siasat ke atas suspek mendapati mereka menyewa unit itu dengan kadar RM2,000 sebulan.

“Mereka juga sentiasa berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat mengelak kegiatan terlarang itu dihidu oleh pihak berkuasa polis dan kesemua suspek tamat tempoh dokumen perjalanan dan akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian haram,” katanya.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, orang ramai diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette