Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 18 taman perumahan dalam Bandar Muadzam Shah, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam ini.

Pelaksanaan itu dibuat berikutan terdapat peningkatan mendadak kes positif Covid-19 dalam Kluster Hikmah melibatkan jemaah Masjid Al-Muadzam Shah serta ahli keluarga yang tinggal di taman-taman berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara taman yang terlibat ialah Taman Desa Bidara, Desa Keranji, Taman Redan Perdana, Desa Teratai, Desa Melor, Desa Mawar 1, Desa Mawar 2, Desa Jati 1, Desa Jati 2, Desa Anggerik, Desa Kenanga, Desa Tanjung, Desa Dahlia 1, Desa Dahlia 2, Desa Cempaka, Desa Alamanda, Pinggir Pelangi dan Desa Semarak.

Ismail Sabri Yaakob

Bagaimanapun, katanya, Bandar Satelit Rompin tidak termasuk dalam kawasan berkenaan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan terdapat peningkatan kes Covid-19 di Bandar Muadzam Shah, Rompin, yang melibatkan komuniti di 18 taman berkenaan, kecuali Bandar Satelit) Rompin.

“Sehingga kini, KKM melaporkan sebanyak 13 kes positif telah direkodkan dalam Kluster Hikmah melibatkan jemaah Masjid Al-Muadzam Shah serta ahli keluarga yang tinggal di taman-taman ini.

“KKM juga turut mengesahkan terdapat peningkatan secara mendadak melibatkan komuniti, di mana 13 kes tersebut telah direkodkan dalam masa 10 hari,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP menasihatkan kerajaan agar melaksanakan PKPD di taman-taman itu selama dua minggu sehingga 22 Februari ini.

Kata Ismail Sabri, PKPD itu akan melibatkan seramai 9,805 penduduk dan 2,178 rumah di 18 taman berkenaan dan pelaksanaan itu dibuat bagi memudahkan KKM melakukan pengesanan awal melalui saringan secara bersasar ke atas penduduk di lokaliti itu, di samping mengawal penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette