Dadah jenis ketamin antara dirampas dalam serbuan tersebut.

SEBERANG PERAI – Seorang pelajar tingkatan 3 antara 16 suspek yang ditahan polis dalam satu pesta dadah di sebuah apartmen di Butterworth awal pagi tadi.

Serbuan jam 1.30 pagi itu turut membawa kepada penemuan dadah jenis ketamin yang dipercayai untuk kegunaan kesemua suspek termasuk tujuh perempuan.

MalaysiaGazette difahamkan, lima daripada suspek yang ditahan itu bawah umur dan empat daripadanya sudah tercicir sekolah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis telah menyerbu apartmen berkenaan yang membawa kepada tangkapan 16 suspek berusia lingkungan 15 hingga 21 tahun.

Kata beliau, apartmen tersebut disewa selama tiga hari dua malam dengan kadar RM360 untuk penganjuran parti tersebut.

“Saringan awal air kencing mendapati 15 daripada mereka positif dadah.

“Dalam serbuan itu juga, kita merampas 0.17 gram ketamin serta beberapa peralatan yang digunakan untuk penganjuran pesta liar itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya lagi, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan malah tindakan kompaun juga diambil kerana mengingkari peraturan yang ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

“Operasi pemantauan seprti ini akan dibuat secara berterusan bagi memastikan aktiviti tidak bermoral seperti ini berulang lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette