Wan Junaidi Tuanku Jaafar
KUALA LUMPUR –  Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yakin penubuhan Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) akan menjadi pemangkin untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Keusahawanan Unggul menjelang tahun 2030.
Selaras dengan aspirasi ini, perusahaan Mikro, kecil dan sederhana disasar menyumbang sebanyak 50% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 38.9% yang dicapai pada tahun 2019.
Bagi memacu pertumbuhan pesat perusahaan itu, MEDAC telah mengambil inisiatif menubuhkan Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) yang akan bertindak sebagai platform perhubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan di Peringkat Persekutuan dan negeri.
Antara peranan dan tanggungjawab MPKN adalah menyelaraskan dasar dan halaju pembangunan keusahawanan, menetapkan skop kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta memperakukan langkah-langkah dan inisiatif strategik bagi menangani isu, cabaran dan halangan yang dihadapi oleh usahawan di pelbagai peringkat secara holistik dan
bersepadu.
Mesyuarat MPKN Bilangan 1 Tahun 2021 yang julung-julung kali diadakan secara virtual pada hari ini telah dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Keanggotaan MPKN merangkumi menteri dan Setiausaha Tetap Kementerian yang bertanggungjawab ke atas pembangunan keusahawanan bagi negeri Sabah dan Sarawak serta Kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan yang diwakili
oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan agensi berkenaan.
Mesyuarat MPKN Bilangan 1 Tahun 2021 telah membincangkan kerjasama strategik yang akan dibentuk di antara MEDAC dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis mengenai program-program peningkatan dan pembangunan usahawan dan PKS di kedua-dua buah negeri.
Selain itu, MEDAC akan turut mengkaji kaedah dan inisiatif yang dapat membantu usahawan di Sabah dan Sarawak, khususnya yang berada di kawasan pedalaman, dalam mempelbagaikan produk dan perkhidmatan, menyediakan infrastruktur, meningkatkan produktiviti pengeluaran dan memperluaskan pasaran produk PKS dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak.
Wan Junaidi berkata, penubuhan MPKN amat bertepatan mengambil kira situasi semasa negara dalam memulihkan semula ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan MEDAC sentiasa komited membantu usahawan mikro, kecil dan sederhana serta usahawan informal dan koperasi di pelbagai peringkat untuk meningkatkan daya saing dan keupayaan mereka bagi mendepani cabaran ekonomi yang getir ini.
Menurut Wan Junaidi, MEDAC melalui MPKN akan mengenal pasti langkah-langkah yang strategik dan proaktif untuk menangani isu, masalah dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan.
Selain itu, menyelaras pelaksanaan inisiatif keusahawanan di peringkat persekutuan dan kerajaan negeri agar seiring dengan dasar-dasar serta perancangan sosioekonomi semasa negara yang akan memberi impak kepada ekosistem keusahawanan yang lebih holistik dan inklusif.
”MPKN merupakan platform terbaik untuk MEDAC membentuk kerjasama kolektif dengan semua pihak berkepentingan agar pelaksanaan strategi dan inisiatif yang digariskan dapat melahirkan usahawan tempatan yang kompetitif dan berjaya dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.
”Di samping itu, platform MPKN juga akan digunakan oleh MEDAC untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan dan situasi sebenar usahawan di peringkat akar umbi termasuk maklumat dan data mengenai usahawan informal yang berjumlah lebih 1 juta pada ketika ini.
”Dengan maklumat dan data yang diperolehi akan membantu MEDAC untuk membuat perancangan dan intervensi yang bertepatan dengan keperluan sebenar usahawan di samping memastikan tiada pertindihan bantuan di antara kerajaan negeri dan Persekutuan, seterusnya menggalakkan pengoptimuman sumber dan perbelanjaan berhemah,” jelasnya. – MalaysiaGazette