Aksi pemain Skuad Bawah-19 Tahun Negara (B-19) sewaktu menjalani kem latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan membenarkan program latihan berpusat dijalankan bagi pasukan-pasukan dalam Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL), bermula 15 Februari ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Teknikal PKP mendengar pembentangan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan membuat penilaian risiko.

Bagaimanapun pelaksanaan program latihan berpusat itu perlu mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini.

“Tempat latihan dan pergerakan atlet/pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan. Penginapan atlet/pemain juga perlu mengikut SOP “Camp-Quarantine” dan “Home-Quarantine” yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya sedang meneliti cadangan KBS untuk membuka aktiviti sukan khususnya bersifat individu tanpa sentuhan.

“Cadangan KBS itu bertujuan kecergasan fizikal dan meningkatkan taraf kesihatan diri.

“Penelitian akhir sedang dibuat dan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kerajaan bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Koreksional Dungun dan Kuarters Kakitangan, pada 10 Februari ini seperti yang dijadualkan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 128 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 51 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Walaubagaimanapun, KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan penurunan serta tiada lagi sampel menunggu keputusan,” jelasnya.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Perak pada 10 Februari ini seperti yang dijadualkan.

Sehingga kini, KKM telah selesai melaksanakan 309 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 27 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM mengesahkan kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 4 Februari 2021 dan tiada baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” jelasnya.

Satu lagi kawasan PKPD ditamatkan esok melibatkan Pusat Transit Tahanan (PTP) di Blok Pusat Latihan Pegawai Penjara Zon 2 dan Zon 3, Penjara Marang, Terengganu.

“Kerajaan juga sebelum ini telah melaksanakan PKPD di kawasan ini dan dijadualkan tamat pada 10 Februari ini.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 76 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 38 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Walaubagaimanapun, KKM mengesahkan kesemua 38 kes positif tersebut telah ditempatkan di PKRC dan kesemua kontak rapat telah diletakkan di sel berasingan dan dipantau selama 14 hari,” katanya lagi. – MalaysiaGazette