Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar menyerahkan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak ketika mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Malaysia Gazette di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak menyumbangkan set pelitup muka dan cecair pembasmi tangan kepada warga kerja MalaysiaGazette di sini hari ini.

Ahli Parlimennya, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, sumbangan itu bagi menghargai pengorbanan petugas media dalam menyampaikan maklumat isu semasa khususnya ketika wabak Covid-19 mengancam negara.

“Sumbangan ini adalah bagi menghargai petugas MalaysiaGazette yang menjadi sebahagian petugas barisan hadapan dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat Malaysia.

“Pada masa sama, tujuan sumbangan set ini adalah tanda ingat mengingati agar bersama-sama membudayakan norma baharu dalam kehidupan iaitu memakai pelitup muka setiap masa di mana sahaja kita berada,” katanya.

Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar mengedarkan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada pekerja di Bottol Garage, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 FEBRUARI 2021.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan dan menyampaikan set sumbangan pelitup muka dan cecair pembasmi tangan di pejabat MalaysiaGazette di ini.

Sebelum itu, beliau turut mengedarkan set sumbangan itu kepada orang ramai di sekitar Lakefield.

Sementara itu, Kamaruddin yang juga Timbalan Menteri Luar kini dalam proses menyumbang hampir 150,000 keping pelitup muka untuk kegunaan penduduk Bandar Tun Razak yang disampaikan secara berperingkat.

Menurut beliau, fokus agihan itu diberikan kepada penduduk perumahan rakyat-perumahan awam dan mereka yang memerlukan.

“Rakyat perlu bersama-sama dengan kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19 dan usaha ini akan berjaya sekiranya disokong semua pihak.

“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos pembelian pelitup muka rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Kamarudin menambah, sebagai tanda penghargaan kepada anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang bertugas di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak khususnya yang menjalankan tugas meronda, sebanyak 12,000 keping pelitup muka dan pencuci tangan disumbangkan dalam masa terdekat.

“Diharapkan ianya dapat membantu menjaga kesihatan pasukan keselamatan yang setiap hari berhadapan dengan risiko wabak Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette

Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar mengedarkan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada orang ramai di Bottol Garage, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 FEBRUARI 2021.