SendParcel, platform baharu daripada Pos Malaysia.

KUALA LUMPUR – Syarikat perkhidmatan penghantaran barangan atau kurier diingatkan supaya mematuhi Akta Perkhidmatan Pos 2012, khususnya dalam melindungi hak pengguna.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, syarikat kurier yang melanggar perundangan subsidiari di bawah akta berkenaan boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM300,000 atau tempoh penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“SKMM juga ingin mengingatkan kepada semua syarikat kurier yang berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 agar sentiasa mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan terutama dalam melindungi hak pengguna bagi memastikan tindakan penguatkuasaan tidak diambil ke atas syarikat mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas mengenai video tular melibatkan pekerja J&T Express membaling barang-barang pelanggan baru-baru ini, SKMM memberi amaran kepada syarikat berkenaan supaya menambahbaik cara pengendalian bungkusan pelanggan.

Suruhanjaya itu turut mengarahkan syarikat berkenaan untuk tampil memberi penjelasan lanjut.

Pada Ahad yang lalu, tular di media sosial, rakaman video menunjukkan beberapa pekerja J&T Express membaling bungkusan pelanggan.

Namun beramai tujuh orang kakitangan J&T Express Perak yang terlibat dalam video yang tular berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Facebook syarikat kurier berkenaan.

Mereka menegaskan bahawa tidak timbul isu dalaman atau pemotongan gaji antara syarikat dengan pekerja dan mereka juga tidak ada melakukan tindakan mogok.

J&T Express turut memohon maaf atas tindakan kakitangannya yang mencampak barang pelanggan seperti dalam video yang tular di media sosial.

Selain itu, SKMM smenyeru agar pihak pengguna memahami dan mengetahui hak mereka sebelum memilih perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat penghantaran.

“Pihak pengguna perlu menghubungi penyedia perkhidmatan untuk membuat sebarang aduan dan tuntutan sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan barangan semasa dalam tempoh penghantaran,” kata SKMM.

Sekiranya pengguna tidak berpuas hati dengan resolusi yang ditawarkan, permohonan rayuan boleh dikemukakan kepada pihak MCMC di https://aduan.skmm.gov.my/ berserta maklumat lengkap supaya siasatan dan tindakan susulan boleh diambil.-MalaysiaGazette