Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengucapkan tahniah kepada Datuk Ir Baharin Din atas pelantikan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB yang baharu.

Pelantikan beliau berkuatkuasa 1 Mac ini bagi menggantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang telah dilantik Kementerian Kewangan untuk mengetuai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Amir telah berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB sejak April 2019.

Baharin Din

”Saya yakin beliau akan terus memacu TNB ke arah mencapai aspirasi strategik untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

”Beliau memiliki pengalaman yang luas dan sentiasa memberi tumpuan untuk mencapai agenda pertumbuhan TNB yang hebat,” kata Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, sepanjang tempoh dua tahun lalu TNB berjaya menyempurnakan beberapa inisiatif utama berpandukan pelan strategiknya, termasuk melengkapkan usaha transformasi seperti penubuhan Bahagian Penjanaan dan Retail sebagai subsidiari bebas, dan melengkapkan pemerolehan strategik aset tenaga boleh baharu di luar negara.

Tambah beliau, meskipun berdepan dengan cabaran disebabkan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, TNB kekal beroperasi dengan stabil dan mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan dengan pulangan yang baik kepada pemegang sahamnya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, Barisan Lembaga Pengarah merakamkan penghargaan kepada Amir atas sumbangan khidmatnya.

”Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau gigih meningkatkan ketelusan dan tadbir urus korporat, selain mempertingkatkan kecekapan organisasi sebagai sebahagian daripada mandatnya.

”Kami mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha beliau meneruskan perkhidmatan kepada negara dalam peranan yang baharu,” katanya. – MalaysiaGazette