Ramesh Rao (baju biru) dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

TAIPING – Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memuat naik status bersifat jelik dan menyakitkan hati orang lain di Twitternya pada Julai tahun lepas.

Tertuduh K. N Ramesh Rao, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhelmy Hasan.

Mengikut pertuduhan Ramesh Rao secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi ciapan Twitter miliknya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Julai 2020 kira-kira jam 8 malam di Taman Desa Trong Utama, Taiping.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Shamsher Singh Thind.

Sariza menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh namun peguamnya merayu agar dikenakan jaminan yang ringan memandangkan tertuduh memberikan kerjasama dengan baik dan menghormati institusi kehakiman.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh membayar jamin tersebut.

Hakim kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 16 Mac depan bagi penyerahan dokumen.

Pada Julai 2020, media tempatan melaporkan satu laporan polis dibuat terhadap Ramesh susulan ciapan Twitternya mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang mensabitkan Najib dengan tujuh kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram adalah cucu saudara Tun Dr. Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.