M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Seramai 17,336 individu berjaya mendapat pekerjaan melalui portal pekerjaan nasional, MYFutureJobs sehingga 9 Februari lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, meskipun negara masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), program perkhidmatan pekerjaan akan dilaksanakan secara dalam talian untuk penempatan pekerja tempatan khususnya, mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui MyFutureJobs optimis dalam mempergiatkan lagi program perkhidmatan pekerjaan.

“Ini termasuklah 14 karnival PenjanaKerjaya, 660 sesi temu duga terbuka seluruh negara, 180 sesi temu duga dalam talian dan 200 sesi webinar pekerjaan.

“MYFutureJobs merupakan antara inisiatif dan tekad KSM dalam menyokong usaha kerajaan melalui Majlis Pekerjaan Negara (MPN) bagi merealisasikan strategi menjana dan mengekalkan pekerjaan selaras dengan matlamat Belanjawan 2021 iaitu ‘Kesejahteraan Rakyat’,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, KSM selaku pengerusi bersama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) di bawah Special Task Force Human Resource and Entrepreneurship (STF HRE) dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif lain dalam membantu dan menyokong peranan MPN.

Ujarnya, KSM akan meningkatkan kerjasama dengan industri bagi memastikan latihan yang dilaksanakan adalah selari dengan keperluan industri.

Jelasnya, strategi itu adalah untuk mengatasi isu ketidaksepadanan dalam penawaran dan permintaan pekerjaan, meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpasaran dalam kalangan pencari kerja tempatan.

Ia termasuklah kerjasama strategik bersama 35 agensi pekerjaan swasta bagi meningkatkan penempatan pekerjaan,” tambahnya.

Beliau berkata, pihaknya akan memperluaskan lagi Program Upskilling & Reskilling dalam usaha melengkapi pekerja tempatan dengan kemahiran serta pengetahuan yang relevan selaras dengan keperluan industri.

“Perkara ini akan dilaksanakan melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Bagi mencapai objektif tersebut, ia turut melibatkan penyertaan peneraju sektor swasta seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Northern Corridor Implementation Authority (NCIA), Regional Corridor Development Authority (RECODA), East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) dan Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA),” jelas beliau.

MYFutureJobs adalah platform bagi KSM memantau padanan pekerjaan yang melibatkan rakyat tempatan selain memastikan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia diberi keutamaan.

Permohonan pekerja asing atau pegawai dagang hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada rakyat Malaysia yang berminat memohon jawatan berkenaan. – MalaysiaGazette