Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Sumbangan dan peranan radio dalam menyebarluaskan mesej dan agenda kerajaan ke arah pembangunan bagi sesebuah negara wajar sentiasa diiktiraf, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata sejajar dengan tema sambutan Hari Radio Sedunia (WRD) 2021 “Dunia Baharu, Radio Baharu” oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), radio memainkan peranan penting khususnya dalam menyebarkan maklumat terkini kepada pendengar dan masyarakat.

“Tiga subtema yang diangkat UNESCO tahun ini, iaitu ‘Evolusi’, ‘Inovasi’ dan ‘Kesalinghubungan’ amat bertepatan dengan fungsi semasa radio dalam menyebarkan informasi global terkini berkenaan bencana alam, krisis sosioekonomi, pandemik dan banyak lagi.

“Kepada penyiar-penyiar radio di seluruh negara, saya ucapkan selamat menyambut Hari Radio Sedunia 2021,” katanya bersempena sambutan WRD 2021 hari ini.

Klip video itu dimuat naik melalui Facebook kementeriannya.

Hari Radio Sedunia disambut pada 13 Feb setiap tahun bagi menghargai peranan selama lebih 100 tahun radio sebagai medium penyampai maklumat selain menjadi platform hiburan dan industri muzik.- BERNAMA