KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy meminta semua pihak supaya tidak memandang remeh kejadian seorang gadis yang dirogol dalam lokap polis di Miri, Sarawak Januari lepas walaupun pendakwaan telah dilakukan di mahkamah terhadap pesalah dan anggota polis terbabit.

Beliau berkata, masyarakat sepatutnya rasa selamat dengan adanya pihak berkuasa seperti polis.

“Bukankah insiden ini cukup pelik sekali? Luar biasa bak kata YB Zuraida (Kamaruddin). Premis seperti balai polis ini tempat menegakkan undang-undang dan bukan sebaliknya.

“Mohon kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri dan Polis DiRaja Malaysia jangan pandang remeh, sebaliknya mencari alternatif terbaik bagi memastikan isu seperti ini tidak lagi berulang,” katanya dalam kenyataan.

Mohana mengulas mengenai seorang remaja perempuan dirogol dalam lokap pada 9 Januari lalu oleh seorang tahanan lelaki walaupun tahanan diasingkan berdasarkan jantina.

Mangsa mendakwa suspek memiliki kunci sel lokapnya manakala polis mendakwa CCTV di lokap tersebut hanya untuk pemantauan dan tidak boleh membuat rakaman.

Pada 9 Februari lalu, suspek yang berusia 19 tahun itu bertindak menukar pengakuan bersalah kepada tidak bersalah.

Dua anggota polis yang telah digantung tugas pula dihadapkan dengan pertuduhan pengabaian, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Mereka juga dihadapkan dengan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 166 Kanun Keseksaan, berhubung penjawat awam yang mengingkari undang-undang dengan niat menyebabkan bencana kepada individu lain.

Mohana mendakwa, kejadian jenayah dalam lokap bukannya sesuatu yang baharu dan pihak berwajib sepatutnya telah mengambil tindakan apabila ia pertama kali berlaku selain memastikan insiden serupa tidak berulang.

“Alasan seperti CCTV tidak berfungsi atau hanya digunakan untuk tujuan tertentu sahaja juga tidak boleh digunakan lagi, perkasakan dan perluaskan penggunaan teknologi seperti ini untuk ketelusan lebih baik lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Perkembangan terkini kes remaja dirogol tahanan tidak wajar didiamkan – Zuraida