BCMY telah  memperkenalkan DDK pada 2018.

KUALA LUMPUR – Syarikat perintis teknologi blockchain di Malaysia, BCMY Pte. Ltd. (BCMY) yang memperkenalkan memperkenalkan mata wang digital baharu dikenali sebagai DDKoin (DDK) pada tahun 2018 iaitu mata wang kripto kini telah memiliki 409,260 pemegang asset.

Pengasasnya, Datuk Muhd. Azrainuddin Zainal berkata, jumlah akaun-akaun itu datang daripada negara seperti Jepun, Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, China, Cambodia, Vietnam, Filipina dan negara Eropah seperti Lithuania dan Ukraine.

Jelas beliau, DDK turut mencatat kejayaan luar biasa hari ini apabila berjaya disenaraikan di bursa kripto dunia bersama lebih 10,000 produk mata wang kripto yang lain.

Jelas beliau, mata wang kripto itu juga berada di kedudukan 523 dengan jumlah modal pasaran bernilai RM150 juta dengan jumlah transaksi niaga harian adalah sekitar RM200,000 hingga RM500,000 sehari.

“Sebenarnya bidang blockchain ini bukan sesuatu yang baru dalam kehidupan kita pada masa kini dan setiap sistem blockchain terdapat ciri-ciri keselamatan menggunakan teknologi kriptografi.

“Kini dengan menggunakan teknologi itu dan internet membolehkan aset dan harta kita disimpan dengan selamat secara dalam talian dan boleh dibawa ke mana sahaja.

“Malah Tabung Kewangan Antarabangsa, Forum Ekonomi Dunia dan negara Komanwel juga telah melakukan penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi baharu ini sejak tahun 2016,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

BCMY telah  memperkenalkan DDK pada 2018 yang dibangunkan hasil cetusan idea dan teknologi rakyat tempatan.

Mengulas lanjut, Muhd. Azrainuddin meluahkan rasa gembira kerana masyarakat kini telah mula menerima dan memahami kepentingan teknologi blockchain.

Apatah lagi jelas beliau, kemunculan virus pandemik Covid-19 telah membuka minda terutama kakitangan awam dan swasta yang  terpaksa bekerja secara atas talian (online) dan bekerja dari rumah.

Datuk Muhd. Azrainuddin Zainal.

“Keadaan ini juga telah menyebabkan masyarakat menyedari sistem kewangan dunia mempunyai banyak kepincangan dan memerlukan solusi serta beralih arah daripada sistem matawang fiat yang menggunakan wang kertas kepada teknologi tanpa tunai yang bersifat digital,” katanya.

Muhd. Azrainuddin menambah, orang ramai kini tidak perlu bimbang dengan teknologi blockchain kerana ia semakin ke hadapan dan telah diaplikasikan banyak negara.

Kata beliau, teknologi itu  adalah kaedah yang lebih baik dan selamat kerana merekod transaksi dan bagi memastikan data sentiasa terbaharu sambil mengekalkan rekod sejarahnya.

Menurutnya, data blockchain tidak dapat dirosakkan dimanipulasi dan dihapuskan secara tidak sengaja oleh sesiapa malah data terkini dan data lama yang disimpan di dalam blockchain boleh dijejaki sejarahnya dari awal.

“Ini adalah antara ciri khas dan canggih yang terdapat dalam teknologi blockchain di mana ia mampu memberikan ciri yang lebih selamat dan telus kepada sistem kewangan. Malaysia haruslah mengambil inisiatif dan langkah wajar bagi mewujudkan ‘Blockchain Hub’ dan menjadikan teknologi ini sebagai agenda nasional supaya tidak jauh ketinggalan seperti negara-negara jiran di luar.

“Salah satu universiti di Thailand dan Vietnam turut mewujudkan ‘Blockchain Hub’ dan “Blockchain Incubator’ untuk memastikan teknologi ini berkembang pesat di negara mereka,” katanya.

Bagi meneruskan pembangunan dalam bidang teknologi blockchain yang cepat berkembang, Muhd. Azrainuddin juga dalam proses membangunkan teknologi baharu untuk DDK Core 2.1 dan juga ekosistem berkonsepkan DEFI (Decentralize Finance) yang tengah popular di dalam dunia teknologi tersebut sekarang.

Sementara itu, pada 2019, BYMC telah mengorak langkah ke hadapan apabila bekerjasama dengan Kolej Antarabangsa Inovatif (KAI) bagi melahirkan pakar blockchain dan mata wang digital (kripto) di negara ini.

Menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani BCMY, kursus Diploma Teknologi Blockchain dikendalikan KAI merupakan program pertama telah ditawarkan di instutisi pengajian tinggi.

BCMY berkongsi kepakarannya dan pengalaman dalam industri dan kepada pihak pengurusan kolej dalam membangunakn modul berkaitan subjek khusus mengenai blockchain. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.