Bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua kiri) bersama ahli Jawatankuasa BERSATU, Datuk Marzuki Yahya (dua kanan), Dr Maszlee Malik (kiri) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (kanan) hadir di Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi mendaftarkan penubuhan parti baharu Pejuang Tanah Air (PEJUANG) di perkarangan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 19 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimin Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) telah berbai’ah mengisytiharkan taat setia kepada parti.

Biarpun telah berbai’ah dengan Al-Quran namun ia bergantung kepada hati masing-masing, kata Presiden Penaja Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Setakat ini ia diamalkan di peringkat tertinggi sahaja, kita mungkin akan buat perkara sama di peringkat kepimpinan negeri tapi tidak berhasrat untuk berbuat demikian di peringkat keahlian,” katanya dalam sidang medianya secara maya, hari ini.

Ditanya sama ada baiah ini dilakukan untuk mengelakkan apa yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini, Mukhriz berkata pihaknya tidak boleh memberikan jaminan perkara itu tidak akan berulang dalam Pejuang.

“Janji tersebut pernah dilakukan semasa Bersatu dahulu, pun begitu masih juga yang khianat. Jadi saya tidak boleh nak jamin sebenarnya dan itu terpulang kepada diri masing-masing.

“Jaminan 100 peratus saya tidak mampu berikan cuma mengharap mereka ada sedikit rasa tanggungjawab bahawa bila sudah berbaiah mereka tidak boleh lari daripada perjuangan asal,” katanya lagi.

Bagaimanapun Mukhriz berharap agar perkara sama tidak akan berlaku dalam perjuangan Pejuang.

”Jadi dalam Pejuang kita harap mereka berpegang teguh kepada janji terhadap perjuangan kita bersama,” katanya lagi.

Dalam sidang media sama, Mukhriz turut memperkenalkan barisan kepimpinan parti itu, hari ini.

Pejuangan menamakan bekas Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Datin Che Asmah Ibrahim selaku Ketua Pejuanita (sayap wanita), bekas Ahli Panel Kajian Fatwa, Jabatan Mufti Perlis, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin sebagai Ketua Pejuang Muda (sayap pemuda), sementara bekas Ketua Penerangan Puteri UMNO Bahagian, Nurul Ashikin Mabahwi sebagai Ketua Pejuanita Muda bagi sayap puteri.

Turut dilantik hari ini adalah Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin.

Untuk rekod, Pejuang kini terdiri daripada sembilan Ahli Majlis Eksekutif termasuklah pengerusi penaja, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Timbalan Presiden penaja, Datuk Marzuki Yahya; Setiausaha Agung penaja, Datuk Amiruddin Hamzah dan Bendahari Agung penaja, Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh. – MalaysiaGazette