Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mengesahkan pihaknya ada beberapa pilihan alternatif sekiranya masih tidak diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden Penajanya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu perlu mencari pilihan lain sekiranya mahu bertanding.

“Kita mesti ada beberapa rancangan alternatif sekiranya satu pilihan itu tidak menjadi. Tapi saya tidak boleh dedahkan pendekatan yang akan kita ambil,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Pejuang buat masa ini masih belum diluluskan pendaftarannya apabila pernah ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 7 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, Pejuang akan berusaha untuk tidak berhasrat untuk bertanding menggunakan platform bebas.

“Saya nyatakan kami tidak berhasrat untuk menyertai PRU-15 dalam keadaan bebas, kami tidak letak calon kita dalam bebas, mesti ada lambang dia, ada platfom untuk bertanding. Apakah platform itu rakyat kena tunggu,” katanya lagi.

Pada awal Februari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata penolakan pendaftaran parti Pejuang berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966.

Hamzah berkata, banyak perkara di dalam Perlembagaan kedua-dua parti yang hendak didaftarkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) tidak teratur serta tidak spesifik.

Selain Pejuang, turut ditolak adalah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – MalaysiaGazette