KUALA LUMPUR – Mengambil tindakan menyekat laman sesawang Sugarbook.com tidak membantu mencegah masalah dating site dalam kalangan wanita muda terutama pelajar universiti.
Sebaliknya, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) perlu mengambil tindakan menyeluruh dengan mengenakan hukuman sewajarnya supaya tiada lagi individu sewenang-wenangnya mengulangi perkara itu.
Ketua Pergerakan Wiranita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ros Hanita Mohd Basir menegaskan, SKMM perlu mencegah dengan segera sebarang aplikasi itu di negara ini.
Remaja masa kini, katanya, lebih celik teknologi maklumat (IT) dan pasti mereka boleh mencari sebarang laman web seumpama itu di dunia maya.
“Mohon SKMM mengambil inisiatif lanjut untuk meneliti mana-mana aplikasi atau laman sesawang yang mengganggu gugat moral remaja memandangkan organisasi itu mempunyai kepakaran teknologi yang hebat dan pakar dalam bidang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyeru supaya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dikaji semula agar tindakan dapat diambil ke atas pihak berkenaan.
Wiranita juga turut mendesak pihak berwajib mengambil kira perkembangan dunia teknologi semakin canggih yang dimonopoli oleh golongan muda yang mementingkan keuntungan semata-mata.
Ini tegas beliau, amat bahaya jika tidak dibendung kerana akan merosakkan moral remaja atau mahasiswa mahasiswi sejurus memburukkan nama Malaysia.
“Kita minta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil serius isu ini bagi membantu menangani penglibatan pelajar wanita dalam perkara yang tidak bermoral.
“Secara tidak langsung gejala ini pasti akan menjadi ancaman kepada pasangan suami isteri yang mempunyai keluarga dan pastinya menjejaskan keharmonian sesebuah keluarga, tidak kira dari mana-mana bangsa.
“KPWKM kenalah peka dan seharusnya menjadi pelindung serta merancang untuk perkembangan ekonomi, selain meningkatkan taraf hidup wanita yang ramai tidak mendapat pembelaan,” katanya.
Menurut Ros Hanita, golongan wanita muda perlu diberi perhatian seadil-adilnya dan dihargai kerana mereka juga menyumbang dalam pembangunan negara.
Oleh itu, katanya, Wiranita Putra mencadangkan KPWKM segera membantu menangani gejala memudaratkan yang memberi ancaman kepada wanita serta memandang serius perlindungan terhadap golongan itu. – MalaysiaGazette
















