Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menubuhkan Majlis Tindakan Pedidikan Kebangsaan (MTPK) dengan melibatkan parti-parti politik hanya menambah kekalutan dan haru-biru sistem pendidikan negara.

Justeru,  Pemuda UMNO bersetuju dengan pandangan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) yang menolak cadangan yang dikemukakan bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik untuk menubuhkan MTPK.

Bagi Pemuda UMNO cadangan untuk menubuhkan MTPK yang melibatkan parti-parti politik hanya menambah kekalutan dan haru-biru sistem pendidikan negara, kata ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki.

”Apa yang lebih utama agar Kementerian Pendidikan memperkasakan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang sedia ada dengan menampilkan tokoh-tokoh pendidikan, ahli akademik, bekas-bekas guru cemerlang yang boleh digemblengkan untuk memikir dan mengkaji pendekatan dan model terbaik untuk meningkatkan kecemerlangan dan mengangkat martabat pendidikan negara terutamanya dalam era pandemik kini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tegasnya, Pemuda UMNO berpendirian tidak perlu keterlibatan orang politik jauh sekali parti-parti politik yang hanya akan mencetuskan polemik yang tidak berkesudahan.

“Biarlah pendidikan menjadi zon bebas parti dan melangkaui ideologi politik demi masa depan pewaris negara akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette