Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada UMNO.

Beliau berkata, langkah itu adalah untuk menyelamatkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

“Saya mendengar ura-ura bahawa Tan Sri Muhyiddin akan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada UMNO.

“Ini untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri yang amat goyah sekarang umpama telur di hujung tanduk. Muhyiddin sedang terdesak, dia akan buat apa sahaja sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Isham, tawaran Muhyididin dilihat sudah terlambat kerana tempoh jawatan tersebut terlalu singkat.

“Buat apa terima jawatan TPM untuk dua tiga bulan waima setahun di mana tidak banyak perubahan yang boleh dibuat hanya untuk menyelamatkan Muhyiddin dan PPBM yang sedang tenggelam dan hampir karam.

“Malah untuk satu jawatan ini yang hanya untuk jangkamasa yang pendek, PPBM pastinya menuntut untuk UMNO mengorbankan banyak perkara, ini tidak menguntungkan malah merugikan kita dan akar umbi serta orang-orang Melayu dalam jangkamasa sederhana, panjang atau selama-lamanya,” katanya.

Justeru itu, beliau menjangkakan UMNO tidak akan menerima jawatan itu yang padanya akan memecahbelahkan parti.

“Majoriti akar umbi telahpun membuat keputusan menolak PPBM dalam mesyuarat-mesyuarat perwakilan baru-baru ini.

“Oleh itu sesiapa yang menerima jawatan ini akan dilihat oleh akar umbi sebagai menggadaikan UMNO untuk kepentingan diri sendiri,’ katanya lagi.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendakwa Perdana Menteri akan memilih sama ada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai TPM. – MalaysiaGazette