Sim Tze Tzim
Sim Tze Tzin

KUALA LUMPUR – Meskipun Parlimen masih belum boleh bersidang, Menteri Pendidikan diminta menjawab persoalan persoalan yang dikemukakan oleh ibu bapa.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, soalan-soalan berkenaan ditanya oleh jutaan ibu bapa.

Soalnya ialah apakah logiknya sesi persekolahan dibuka walaupun beberapa negeri sedang berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Soalan kedua pula ialah mengapa murid-murid paling muda bersekolah terlebih dahulu.

Tanya beliau lagi, mengapa sekolah menengah dibuka pada bulan April.

“Apa lojiknya, sekolah buka semula apabila kes masih beribu-ribu?,” soal Sim lagi.

Persoalan itu dikemukakan susulan pengumuman sesi persekolahan mulai 1 Mac ini.

Semalam, Datuk Radzi Jidin memaklumkan sesi persekolahan bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua akan bermula 1 Mac ini manakala murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam dibenarkan hadir ke sekolah pada 8 Mac ini.

Bagi pelajar sekolah menengah kategori kumpulan A iaitu di Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah pula akan bermula pada 4 April diikuti 5 April membabitkan kumpulan B bagi negeri lain.

Selain itu, kolej vokasional bagi Sijil dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun 1 (Semester dua) juga dibenarkan beroperasi pada 1 Mac manakala sekolah antarabangsa serta pusat tuisyen bermula 8 Mac.

Kata Radzi, tarikh pembukaan penuh sekolah itu membabitkan semua sekolah yang berdaftar dengan KPM. – MalaysiaGazette