Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berkata rakyat negara ini tidak boleh perputus asa dengan apa yang berlaku dek kerana pandemik Covid-19.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, semua lapisan masyarakat di rakyat negara ini perlu mengambil sikap seekor lembu yang sentiasa bertenaga dan bersedia untuk menghadapi apa sahaja yang mendatang.

“Kita tidak boleh berputus asa, ibarat seekor lembu yang senantiasa bertenaga dan bersedia untuk membajak dan berbakti kepada tanah.

“Seperti kata pepatah, ‘kita tidak dapat mengubah arah angin, tetapi kita dapat menyesuaikan layar supaya sampai ke tempat kita tuju’.

“Kita adalah pelayar kapal kita sendiri dan marilah kita bekerjasama dalam menghadapi ribut ini. Tahun Baharu Cina adalah mengenai kebersamaan, kedamaian, kemakmuran dan kebahagiaan. Saya berdoa agar konsep ini melampaui usia, bangsa, agama dan budaya.

“Saya percaya bahawa Tahun Baharu Cina akan membawa harapan baharu dan pencapaian baharu,”katanya ketika menyempurnakan sambutan umah Terbuka Malaysia (SRTM) Tahun Baru Cina Norma Baharu 2021 secara atas talian, sebentar tadi.

Malah katanya, kerajaan akan terus menggiatkan usaha mengimbangi aspek kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi negara, sentiasa prihatin dan mendengar pandangan serta keluhan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar dan
inisiatif termasuk pakej rangsangan ekonomi dan yang terbaharu, Pakej Bantuan Pelindungai Ekonomi dan Rakyat Malaysia, yakni PERMAI bagi memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

“Kerajaan akan terus menggiatkan usaha untuk mengimbangi antara aspek kelangsungan hidup dan ekonomi negara,” katanya lagi.

Turut serta dalam sambutan secara maya itu adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Muhyiddin juga berkata, biarpun menyambut sambutan Tahun Baharu Cina dalam amalam norma baharu, namun ia tidak boleh menghalang masyarakat Tiong Hua untuk menyambut perayaan ini.

Masyarakat Cina di negara ini, kata Muhyiddin, perlu memanfaatkan teknologi sedia ada agar bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara sanak saudara.

“Walaupun pertemuan secara fizikal adalah terhad buat masa ini, namun teknologi yang ada pada hari ini harus dimanfaatkan untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

“Ingatlah untuk mematuhi segala garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan pada setiap masa,” katanya lagi.

Tambah Muhyiddin, memandangkan risiko jangkitan Covid-19 masih wujud dalam komuniti maka masyarakat perlu mula menyesuaikan diri dengan teknologi.

“Saya fikir wajar untuk kita menyesuaikan amalan dan tradisi perayaan dalam bentuk yang lebih inovatif, iaitu menerusi bentuk digital seperti aplikasi e-angpau,” kata Muhyiddin lagi. – MalaysiaGazette