Datuk Ir. Baharin Din

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di pusat penyimpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin Covid-19 di seluruh negara kekal stabil sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagiannya, Datuk Ir. Baharin Din berkata, perbincangan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dan sedang diteruskan bagi memperinci keperluan KKM terutama melibatkan usaha mengelakkan gangguan bekalan di lokasi penyimpanan vaksin.

Beliau berkata, TNB akan memastikan sistem bekalan elektrik utama dan alternatif beroperasi dengan baik di semua pusat penyimpanan dan pusat pemberian vaksin.

“TNB juga merangka pelan kontigensi pemulihan bekalan dengan pantas di beberapa pencawang yang dikenalpasti melalui pemasangan sistem pengalihan bekalan secara automasi kawalan jauh antaranya Normal Off Point (NOP), Automated Transfer Scheme (ATS) dan Remote Terminal Unit (RTU).

“Bagi mengelakkan kegagalan pada sistem, kerja-kerja penyelenggaraan condition-based maintenance (CBM) terhadap pencawang dan pembekal elektrik ke pusat penyimpanan vaksin telah dilaksanakan.

Malaysia akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech bermula 21 Februari ini disusuli pelaksanaan fasa pertama program imunisasi pada 26 Februari.

Bekalan elektrik yang stabil diperlukan kerana vaksin tersebut perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

Menurut Baharin, TNB juga melakukan sesi keterlibatan (engagement) dengan pihak hospital dan klinik kesihatan untuk memastikan set janakuasa mereka berfungsi dan bersedia untuk beroperasi sekiranya diperlukan.

Selain itu, pasukan teknikal TNB akan berada dalam keadaan siap sedia serta set-set janakuasa bergerak akan diletakkan di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan tindakan yang pantas dapat diambil sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan di pusat-pusat penyimpanan vaksin, ujarnya.

Tambah beliau, syarikat utiliti itu turut menyediakan dua saluran perhubungan khusus (talian khas) kepada pusat penyimpanan vaksin bagi membolehkan komunikasi pantas dengan TNB jika berlaku gangguan.

Dalam pada itu, Baharin memohon kerjasama kontraktor-kontrakor yang melakukan kerja-kerja pengorekan berhampiran kabel bawah tanah TNB untuk menghubungi syarikat utiliti itu sebelum memulakan kerja bagi mengelak kerosakan pada kabel, seterusnya menyebabkan gangguan bekalan terutama di pusat-pusat penyimpanan vaksin.

Sekiranya orang ramai menyedari sebarang kejanggalan pada pepasangan TNB atau ingin melaporkan gangguan bekalan, mereka boleh melakukannya dengan hubungi talian TNB CareLine 15454. – MalaysiaGazette