Presiden CUEPACS Adnan Mat pada sidang media khas CUEPACS mengenai inisiatif dana khas untuk petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan bagi membantu petugas yang dijangkiti Covid-19 sewaktu bertugas di Wisma CUEPACS, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID 10 FEBRUARI 2021.

BARU-baru ini terbaca ‘serangan’ yang dilakukan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja
Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) terhadap kaedah pemberian bayaran ‘one-off’ RM500 kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) yang didakwa berlainan dengan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Menurut pandangan CUEPACS, petugas KKM hanya layak mendapat kadar penuh
RM500 jika telah dibayar Elaun Khas COVID-19 tahun lalu pada kadar penuh selama
tiga bulan atau lebih manakala mereka yang menerima elaun kurang daripada tiga
bulan atau kadar separuh hanya layak menerima separuh iaitu RM250.

Malah, petugas barisan hadapan ini juga perlu membuat tuntutan ‘one-off‘ ini secara manual dengan mengisi borang tuntutan.

Harus difahami bahawa tugas utama anggota kerajaan seperti menteri adalah untuk
menentukan dasar-dasar kerajaan, termasuklah implikasi kewangan yang berbangkit.

Apabila sesuatu dasar itu sudah disepakati, maka tugas pelaksanaan pula turun kepada
para penjawat awam yang sejumlah besarnya juga merupakan ahli kongres berkenaan.

Mustahil CUEPACS tidak faham akan tatacara dan prosedur kewangan yang diamalkan
oleh kerajaan ini, termasuklah yang berkaitan bantuan ‘one-off’ sebegini?

Dalam isu ini, ketua jabatan bertanggungjawab untuk menilai dan mengesahkan siapa
yang layak atau tidak layak menerima bantuan RM500 secara ‘one off’ yang telah
diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba baru-baru ini.

Hanya yang bergelar pasukan barisan hadapan sahaja yang layak, tidak semua staf KKM
boleh menikmati RM500 tersebut. Ia atas penilaian ketua-ketua jabatan sendiri.

Pada masa yang sama, tanggungjawab ketua jabatan juga untuk pastikan agar wang itu
diberikan kepada barisan hadapan KKM tidak melebihi dari peruntukan yang diluluskan
oleh Kementerian Kewangan. Sebab itu, mana-mana ketua jabatan sekali pun akan
bersikap lebih berhemah dan cermat dalam perkara ini.

Ini kerana, setiap sen wang yang dibelanjakan itu akan diaudit oleh Jabatan Audit
Negara (JAN) di akhir tahun. Ia bukan wang yang boleh digunakan sesuka hati, kerana ia
melibatkan wang rakyat.

Dari segi keperluan mengisi borang permohonan pula, mereka yang berkenaan
diwajibkan mengisi sehelai borang sahaja untuk tujuan prosedur kewangan. Bukannya
borang yang terpaksa diisi itu mencecah tiga atau empat helai, hanya sehelai sebagai
keperluan untuk pengurusan kewangan dan keselamatan.

Justeru, ‘serangan’ CUEPACS kali ini dilihat tidak kena pada sasarannya. Syabas
diucapkan kepada wakil CUEPACS yang telah berjaya bertemu Ketua Setiausaha KKM
yang baharu dan pencerahan panjang lebar telah diterima secara terus dari orang yang
berautoriti.

Namun adakah fungsi CUEPACS sekadar itu?

Ketika kita semua sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan darurat ini,
sepatutnya CUEPACS mengembangkan lagi baktinya dengan memberi bantuan kepada
usaha kerajaan melawan virus tersebut.

CUEPACS boleh menggerakkan ‘taks force’ untuk memantau penguatkuasaan
pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja, misalnya. Bukankah
kluster dari tempat kerja merupakan kluster tertinggi? Maka bagus jika CUEPACS dapat
menolong proses pemantauan ini.

Bukan CUEPACS sahaja yang ‘menyerang’ isu ini. Juga difahamkan ada ahli politik
ternama turut senada dengan apa yang CUEPACS suarakan.

Pesanan yang sama buat sesetengah ahli politik berkenaan, dikala kita sedang
berhadapan pandemik dan situasi darurat ini, elok kiranya ahli politik yang punyai
pengaruh dan pengikut yang ramai itu dapat menyeru semua untuk mengikut SOP dan
mengamalkan norma baharu setiap masa.

Kita juga telah terima vaksin ke dalam negara ini, apa kata ahli politik dan CUEPACS
dapat bersama-sama bantu kerajaan untuk mempromosikan pengambilan vaksin Covid-

19 dalam kalangan masyarakat agar kita dapat mencapai imunisasi kelompok dengan
lebih pantas.

Sudah tiba untuk kita sekadar menjadi penyerang kepada kerajaan. Waktu yang kritikal
sebegini sepatutnya kita sama-sama menolong kerajaan untuk mengejar misi dan visi
yang besar iaitu melawan Covid-19 hingga berjaya.

Ibrahim Md Syukri
penjawat awam di Putrajaya