Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika berucap di Program MEDAC di Jelebu, Negeri Sembilan.

JELEBU – UDA Holdings Berhad (UDA), syarikat pemaju hartanah dan pengurusan aset di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dilantik sebagai ‘turnkey developer’ bagi membangunkan empat lot rumah kedai dua tingkat di Jelebu.

Projek yang diberi nama UDA Niaga itu dibina di atas tanah berkeluasan 0.17 ekar milik Koperasi Kakitangan Kerajaan Daerah Jelebu di Kuala Klawang.

Projek dengan kos pembangunan kasar (GDC) RM1.7 juta itu menggunakan geran kerajaan. Ia dijangka siap dalam tempoh 8 bulan.

Projek ini akan diserahkan kepada pemilik tanah setelah siap dibina.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, UDA Niaga dijangka berpotensi menjadi pusat sehenti untuk usahawan di kawasan tersebut.

“Ia juga boleh dijadikan pusat sehenti untuk agensi-agensi di bawah MEDAC seterusnya memudahkan penduduk tempatan mendapatkan maklumat berkaitan insentif serta program keusahawanan yang disediakan oleh MEDAC.

“UDA Niaga yang berdekatan dengan sekolah, pejabat kerajaan dan juga terletak di tengah bandar Kuala Klawang akan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program MEDAC bersama agensi agensi di bawahnya  menyebarkan manfaat hampir RM3 juta buat usahawan di Negeri Sembilan.

 

Jalaluddin Alias ( kanan) menunjukkan lakaran atis projek UDA Niaga kepada Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi menjelaskan projek itu merupakan salah satu usaha produktif oleh pihak koperasi bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan ahli koperasi, usahawan dan juga masyarakat setempat.

“Semoga usaha sama ini menjadi model untuk agensi dan syarikat lain agar dapat menggembleng tenaga dalam mengembangkan lebih banyak program keusahawanan demi melonjakkan ekonomi,”

Sementara itu, Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, UDA sebelum ini telah membangunkan 168 unit kedai seperti UDA Niaga yang dahulunya dikenali sebagai Kedai Desa di 16 tapak di seluruh negara.

“UDA diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk membangunkan UDA Niaga di seluruh negara antaranya di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Projek UDA Niaga tertumpu pada pembangunan lot kedai di atas tanah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penduduk setempat akan menerima manfaat daripada pembangunan tersebut.

“Apabila UDA Niaga yang telah siap dibina, ia akan diserahkan kepada pihak PBT selaku pemilik tanah untuk pengisian peniaga atau usahawan tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette