Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Kerjasama dengan seteru bukan perkara baharu dalam politik Malaysia, kata bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau memberi contoh, ketika era bapanya, Allahyarham Tun Razak HUssein mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1973, beberapa musuh politiknya seperti Gerakan, Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Pas turut menyertainya.

Katanya, agenda paling penting dalam pemikiran bekas Perdana Menteri kedua ketika itu ialah kestabilan untuk memulihkan negara.

“Dari ini saya diajar bahawa politik ini adalah dinamik dan kita perlu sentiasa kaji apakah langkah boleh diterima oleh ahli kita yang paling sesuai bagi parti dan kepentingan negara.

“Sesiapa pun pada tahun 2017 akan kurang percaya, pada tahun 2018, Pas yang merupakan “musuh” kita pada PRU14 akan bergabung dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN). Hakikatnya, ia berlaku sebab majoriti ahli UMNO bersetuju.

“Begitu juga, sesiapa pun pada akhir tahun 2019 akan kurang percaya PPBM yang merupakan “musuh” kita masa itu dan masih berlawan dengan UMNO di PRK Tanjung Piai pada November 2019 dan di PRK Kimanis pada Januari 2020, akan berpakat dengan UMNO dalam kerajaan baharu pada Februari 2020,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, ia menjadi realiti sebab ahli UMNO dan BN bersetuju untuk bekerjasama dengan PPBM masa itu, walaupun kini kini ditolak oleh majoriti ahli.

Oleh itu, kata Najib, apa langkah untuk bekerjasama dan siapa yang mahu berpakat perlu dipersetujui dan diterima majoriti ahli serta pemimpin UMNO, BN wajar dikaji demi masa depan parti, bangsa, agama dan negara.

Bagaimanapun, katanya, dengan syarat ahli dan pemimpin UMNO mesti boleh terima serta ikhlas dan ada kepercayaan dalam kerjasama.

“Jika majoriti ahli parti bersetuju untuk bekerjasama dengan Tun Dr. Mahatir Mohamad atau Mohamad Sabu atau Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kita cuba terokai.

“(Tetapi), jika majoriti ahli parti bantah untuk kita bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau DAP atau Mohd Shafie, kita tidak teruskan.

Explore all options and think out of the box, kata orang putih,” ujar beliau. – MalaysiaGazette