Anggota bomba memadamkan kebakaran kabel elektrik di bahagian bawah Jambatan Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kabel elektrik di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang yang dilaporkan terbakar semula pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya terima panggilan kecemasan pada jam 9.17 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba kita dapati kebakaran melibatkan kabel elektrik berlaku di bahagian bawah di kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang iaitu lokasi kebakaran yang sama semalam.

“Operasi pemadaman masih dilakukan BBP Perai dengan bantuan dari BBP Bandar Perda dah Paya Terubong,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja pemadaman api di Jambatan Pulau Pinang hari ini.

Tambah jurucakap itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut dan punca kejadian masih dalam siasatan.

MalaysiaGazette semalam melaporkan ratusan kenderaan terkandas dalam kesesakan akibat kebakaran kabel di Jambatan Pulau Pinang.

Kepulan asap yang keluar daripada bahagian bawah jambatan berkenaan turut mengejutkan pengguna jalan raya yang melalui jambatan itu.

Difahamkan, kebakaran melibatkan jambatan tersebut telah berlaku sebanyak tiga kali sejak tahun 2011. – MalaysiaGazette