Poster pegumuman Nursyahirah sebagai penerima anugerah Bestscreen Play.

KUALA LUMPUR – Kisah benar perjalanan hidup seni seorang ayah yang dilakonkan semula dalam sebuah filem pendek membawa tuah kepada Siti Nursyahirah Mohd Anwar, 24, apabila dinobatkan sebagai pemenang anugerah Bestscreen Play di Limkokwing Youth International Film Festival pada 15 Februari lalu.

Membawa tajuk Penjara Seni, filem berdurasi 14 minit 19 saat itu berjaya menyingkirkan lebih 50 peserta lain, sekali gus menerima hadiah berupa trofi dan sijil.

Nursyahirah yang merupakan graduan Program Teknologi Visual, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian (FSSK), Universiti Malaysia, Sabah (UMS) menyifatkan pencapaian itu di luar jangkaannya kerana dia berhadapan saingan hebat daripada peserta-peserta antarabangsa.

Filem Pendek Penjara seni yang memenangi anugerah Bestscreen Play pada Limkokwing Youth International Film Festival

“Jujur pada masa awal mengisi borang pertandingan ni, saya tidak menaruh harapan yang tinggi kerana pernah menghantar filem pendek yang sama di pertandingan lain namun tidak berjaya.

“Namun, saya percaya selagi ada ruang, tidak salah untuk mencuba. Apabila keputusan diumumkan, saya terkejut, gembira dan teruja sekali dan bersyukur kerana ini merupakan anugerah pertama yang diterima apatah lagi ia merupakan sebuah pertandingan bertaraf global,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Menurut Nursyahirah, beliau memilih kisah ayahnya kerana ia sebuah jalan cerita yang menyentuh hati dan baginya ia perlu diketahui umum untuk memberi inspirasi terhadap mereka yang mempunyai minat dan jalan kehidupan yang sama.

“Saya ingin membuka mata semua masyarakat bahawa pelukis “Self-Taught” ini sebenarnya wujud. Bakat yang dianugerahkan kepada seseorang itu tidak sepatutnya dinilai dengan darjatnya mahupun pangkat.

Nursyahirah (kiri) bersama bapanya Mohd Anwar Mahmud Chuchu (kanan).

“Ayah sering menceritakan pengalaman hidupnya dahulu yang mungkin hanya kami sahaja yang tahu, dan saya mulai merasakan bahawa saya patut membuat sesuatu agar dapat membuka mata ramai pihak,” ujarnya.

Nursyahirah berkata, filem pendek itu menceritakan bagaimana ayahnya sebagai seorang ahli seni yang mempunyai minat mendalam dalam bidang lukisan namun dipandang rendah kerana keadaannya yang miskin dan dikatakan sebagai pelukis kampung.

“Bagaimanapun, akhirnya ayah menang dalam satu pertandingan lukisan yang telah disertai ramai pelukis yang profesional dan berpendidikan.

“Ayah juga telah membuka sebuah galeri lukisan sendiri,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Nursyahirah berharap agar pihak kerajaan Malaysia dapat memberikan lebih banyak dana kepada penggiat seni terutamanya kepada pembuat filem kerana terlalu ramai orang yang berbakat namun susah untuk menghasilkan karya akibat tidak cukup dana, termasuk beliau sendiri.

Dengan tema Celebrating the Creativity of Youth, Limkokwing Youth International Film Festival turut disertai peserta dari negara China, Iran, Pakistan, Brazil, India, Philiphines, Botswana, Swaziland, Syria dan Krygyztan selain peserta dalam negara dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan tuan rumah Limkokwing University.

Bagi mereka yang ingin menonton Penjara Seni dan senarai penuh pemenang semua kategori yang dipertandingkan boleh melawati laman web Limkokwing – Film Festival Winners (filmacademy.com.my). – MalaysiaGazette