Muhammad Haikal Iskandar menatap wajah bapanya yang meninggal dunia buat kali terakhir sebelum menduduki peperiksaan SPM di SMK Simpang Beluru hari ini.-pix FB

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar terpaksa menatap wajah terakhir arwah bapanya di perkarangan dewan sekolah sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kuala Kangsar, Perak hari ini.

Muhammad Haikal Iskandar yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru itu ternyata tidak dapat menahan rasa sedih dan menangis dalam video tular di media sosial.

Muhammad Haikal Iskandar tidak mampu menahan kesedihan selepas melihat jenazah arwah bapanya di perkarangan SMK Simpang Beluru hari ini.-pix FB.

Ia dikongsi melalui Facebook seorang kaunselor di sekolah yang sama, Badariah Mohd Mohaidin.

“Menghampiri pukul 10 pagi untuk peperiksaan Sejarah K2. Van jenazah singgah ke sekolah. Seorang ayah yang sudah tidak bernyawa dibawa berjumpa anak buat kali terakhir.

“Semoga Allah memberikan kekuatan kepada Muhammad Haikal Iskandar untuk menjawab SPM (SMK Simpang Beluru),” kongsi Badariah dalam media sosialnya.

Muhammad Haikal Iskandar ditenangkan gurunya slepas melihat arwah bapanya buat kali terakhir di SMK Simpang Beluru, Kuala Kangsar hari ini.-pix FB.

Video berdurasi selama 58 saat berlatar belakang lagu Salam Terakhir nyanyian Allahyarham Sudirman itu menyebabkan ramai netizen berkongsi kesedihan calon SPM 2020 itu.

Malah gambar Muhammad Haikal yang mengesat air mata dan ditenangkan oleh gurunya juga mengundang kesedihan.- MalaysiaGazette