KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran pada November dan Disember 2020 berjaya dikurangkan kepada 4.8 peratus berbanding 5.3 peratus pada Mei tahun itu hasil daripada beberapa insiatif yang dilaksanakan kerajaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selain itu Program Subsidi Upah 1.0, 2.0 dan 3.0, Program Latihan dan Latihan Semula dan Program Insentif Pengambilan Pekerja atau PenjanaKerjaya turut menyumbang kepada penyusutran itu.

“Sehingga 15 Februari 2021, Program Subsidi Upah, PSU 1.0, 2.0 dan 3.0, melibatkan sejumlah RM13.53 bilion yang telah disalurkan kepada 327,908 majikan dan sekaligus membantu mengekalkan 2.695 juta pekerjaan.

“Namun, Kerajaan sedar kita perlu bertindak lebih dari hanya menyelamatkan pekerjaan. Kita perlu menjana peluang pekerjaan baharu (job creation) bagi mereka yang kehilangan pekerjaan atau baharu memasuki pasaran kerja, terutamanya belia lepasan sekolah dan institut pengajian tinggi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 dan Pelancaran Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs menerusi atas talian hari ini.

Bagi terus berusaha membantu rakyat khususnya yang terjejas untuk mendapatkan baharu, kata Tengku Zafrul, PenjanaKerjaya diperkenalkan menerusi peruntukan RM2 bilion.

“Sehingga 15 Februari 2021, sebanyak RM337.3 juta telah dibayar sebagai insentif PenjanaKerjaya 1.0 yang dimanfaatkan oleh 14,904 majikan dan menyediakan 113,074 peluang pekerjaan untuk rakyat.

“Bagi PenjanaKerjaya 2.0 di bawah Belanjawan 2021 yang tarikh permohonannya mula dibuka pada 1 Januari 2021, lebih RM3.9 juta telah dibayar kepada 1,073 majikan, melibatkan 3,651 pekerja,” ujarnya.

Kata beliau, tidak dinafikan bahawa usaha membantu rakyat kini bertambah kritikal apatah lagi berkemungkinan masih ramai yang menghadapi cabaran mencari pekerjaan pada suku pertama 2021, selepas pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Namun Tengku ZafrulĀ  yakin Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara dan pendapatan rakyat keseluruhannya.

“Walaupun bagi PKP 2.0 ini, banyak aktiviti ekonomi dibenarkan, namun masih ada sektor-sektor yang amat terkesan seperti pelancongan dan beberapa sub-sektor peruncitan yang hanya mampu pulih apabila Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan sepenuhnya pada suku pertama tahun 2022,” tambah beliau.

Sementara itu kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini memperkenalkan Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs selain menganjurkan Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021.

Tengku Zafrul menyifatkan MYFutureJobs sebagai salah satu cara untuk memudahkan pencari dan penawar kerja.

“Melalui perkhidmatan kaunseling, penyediaan resume dan pembuatan profil bagi pencari kerja, serta pendaftaran kekosongan jawatan bagi majikan, saya difahamkan MYFutureJobs yang berlandaskan Artificial Intelligence dapat memadankan profil pencari kerja dengan pekerjaan pilihan secara tepat.

“Ini juga dapat membina keupayaan Perkeso menilai dan memahami trend pasaran buruh, satu keupayaan yang amat penting bagi mengenalpasti sektor-sektor yang mempunyai permintaan tiggi dan bagi penggubalan dasar,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, MYFutureJobs mempunyai kelebihan tersendiri apabila diperluaskan kepada individu bukan pencarum Perkeso yang ingin mendapatkan pekerjaan baharu.

“Pendek kata, MYFutureJobs berperanan sebagai pusat hentian setempat dan rujukan bagi inisiatif berkaitan pekerjaan termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula,” tambah beliau.

Turut hadir ketika majlis perasmian atas talian sebentar tadi adalah Pengerusi Lembaga Perkeso Tan Sri Profesor Dr Mohamed Haniffa Abdullah dan Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Mohamed Azman Aziz Mohammed.- MalaysiaGazette