Gambar Hiasan

BARU-baru in tular di media sosial berkaitan perbezaan jarum suntikan bagi vaksin
COVID 19 yang diberikan kepada Perdana Menteri Malaysia. Apa yang menjangkalkan
adalah wujud pula golongan yang mengaitkan perbezaan jarum suntikan ini dengan agenda tertentu dengan niat untuk menolak program immunisasi COVID 19 kebangsaan ini.

Propaganda media yang dibuat oleh golongan ini secara tidak langsung mengelirukan
masyarakat awam yang secara literalnya tidak mengetahui hal yang tepat dan sebenar.
Suntikan secara umumnya adalah prosedur pemberian cecair terutamanya ubat, ke
dalam tubuh seseorang dengan menggunakan jarum suntikan. Kaedah suntikan adalah salah satu cara terbaik bagi tujuan pemberian ubat kerana membolehkan ubat diserap dengan lebih cepat.

Secara tidak langsung ini mengelakkan metabolisma ubat pertama yang biasanya
berlaku dengan kaedah pemakanan ubat yang biasa, yang melibatkan penyerapan pada
saluran pencernaan. Terdapat pelbagai jenis suntikan, yang umumnya disebut berdasarkan tisu badan yang disuntik.

Ini termasuk suntikan biasa seperti suntikan subkutan, intramuskular, dan intravena, serta suntikan yang kurang biasa seperti suntikan intraperitoneal, infusi intraoseus, intracardiak, intraarticular, dan intracavernous. Jenis suntikan yang pelbagai ini mewujudkan variasi pada jarum suntikan bagi memudahkan prosedur pemberian ubat, bersesuaian dengan tempat suntikan.

Jarum suntikan dilabel dengan ukuran berbeza daripada picagari. Tiga kriteria faktor utama yang dilihat untuk memilih jarum yang tepat iaitu tolok jarum, panjang, dan penggunaannya. Tolok jarum adalah bagi mengukur lebar atau diameter jarum dan ukuran panjang adalah dari pusat ke hujung jarum.

Manakala penggunaan jarum merujuk kepada seberapa dalam jarum harus
melintasi untuk mencapai kawasan suntikan sasaran. Kedalaman suntikan ini merangkumi intradermal (suntikan dermis), subkutan (suntikan tisu subkutan) dan otot (suntikan intramuskular). Pembungkusan jarum suntikan juga amat spesifik dengan mempunyai nombor, kemudian "G" atau gauge dan kemudian nombor lain seperti contoh jarum 22G 1/2.

Nombor pertama di hadapan huruf G menunjukkan tolok jarum. Semakin tinggi bilangan ini, semakin nipis jarum. Nombor kedua menunjukkan panjang jarum dalam inci. Contohnya, jarum 22G 1/2 mempunyai ukuran 22 dan panjang setengah inci. Jarum standard berbeza panjangnya daripada 3/8 inci hingga 3-1/2 inci. Lokasi suntikan akan menentukan panjang jarum yang diperlukan.

Secara amnya, semakin jauh kedalaman suntikan, semakin panjang jarum
diperlukan. Sebagai contoh, suntikan intramuskular memerlukan jarum yang lebih panjang berbanding suntikan subkutan dan intradermal. Pemilihan panjang jarum juga bergantung kepada ukuran seseorang seperti anak kecil memerlukan jarum yang lebih pendek daripada

Malah ada beberapa ubat hanya berkesan dapat diserap secara tepat di bawah
kulit seperti bius lokal, sementara yang lain perlu disuntik ke dalam otot. Apa yang menariknya, jarum suntikan ini mempunyai warna yang dikodkan secara universal bagi mengelakkan kesalahan dalam pemilihan jarum bagi prosedur yang tertentu.

Namun kadangkala masih bergantung kepada syarikat produksi jarum suntikan tersebut.
Sebagai contoh rujukan jarum suntikan keluaran syarikat PH Healthcare, warna coklat untuk 26G, oren 25G, ungu 24G, biru 23G, hitam 22G, hijau 21G, kuning 20G, krim 19G, merah jambu 18G dan putih 16G. Sekiranya suntikan bagi ubat yang sedikit, kebiasaannya adalah kurang menyakitkan apabila menggunakan jarum tolok nipis yang tinggi berbanding jarum tolok bawah yang lebih lebar.

Untuk jumlah ubat yang lebih besar, jarum yang lebih luas dan lebar sering menjadi pilihan yang lebih baik. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kaedah pemberian vaksin merupakan faktor yang penting bagi memastikan kejayaan program imunisasi. Bahan atau vaksin mesti dimasukkan ke bahagian badan di mana tindakan vaksin akan berlaku.

Terdapat pelbagai kaedah yang disyorkan mengikut jenis vaksin yang diterima. Sebagai contoh suntikan intramuskular, dengan memberikan vaksin ke dalam otot seperti vaksin dipheteria, tetanus, pertusis, dan hepatitis. Vaksin yang mengandungi bahan pelengkap harus disuntikkan dengan cara intramuskular untuk mengurangkan kesan sampingan setempat.

Suntikan subkutan pula adalah dengan memberikan vaksin ke lapisan subkutan di atas otot dan di bawah kulit seperti vaksin measles dan demam kuning (yellow fever). Suntikan intradermal pula memberikan vaksin di lapisan paling atas kulit dan BCG adalah satu-satunya vaksin dengan kaedah ini.

Pemberian vaksin secara oral pula menjadikan imunisasi lebih mudah dengan menghilangkan keperluan kepada jarum suntikan seperti vaksin polio dan virus rota.
Menurut garis panduan bagi mengendalikan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19
mengikut piawaian Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), vaksin yang diberikan
adalah sebanyak 0.3 mL, dengan menggunakan suntikan intramuskular di deltoid otot lengan.

Jarum suntikan yang direkomendasi adalah jarum bersaiz 22G sehingga 25G dengan panjang jarum suntikan 1–1/2 inci. Sekiranya kita meneliti isu yang tular tersebut, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebenarnya telah mengikuti standard operasi piawaian (SOP) yang tepat seperti yang telah direkomendasi oleh agensi kesihatan antarabangsa.

Islam sangat menggalakkan hubungan yang baik sesama manusia dan merupakan
salah satu maqasid Syariah didalam kehidupan. Sebagai umat Islam kita hendaklah berlapang dada, bersifat mesra, berbelas kasihan, berkasih sayang dan tidak berburuk sangka antara satu sama lain. Sifat berbaik sangka dalam hubungan antara manusia dapat menjauhkan sikap memandang serong terhadap seseorang. Pada hari ini, sifat berbaik sangka ini kian terpinggir.

Perasaan buruk sangka ini adalah disebabkan oleh ikatan persaudaraan yang lemah dan ukhuwah yang semakin longgar. Ia menjadi amat bahaya jika penyakit Su’al-zan (Su’udzon) iaitu buruk sangka menular dalam diri manusia. Manusia akan mudah hilang pertimbangan dan akan segera membuat kesimpulan untuk menuduh dan menyalahkan orang lain terhadap sesuatu perkara yang berlaku, tanpa usul periksa.

Penyakit sangka buruk ini boleh menyebabkan perpecahan berlaku dalam masyarakat
kita hari ini. Buruk sangka akan menjadikan seseorang menurut sahaja perasaannya dan
membuat tohmahan terhadap saudaranya walaupun berasaskan perasaan agak- agak atau ragu- ragu dan tidak pasti. Kesan daripada sifat negatif ini melahirkan masyarakat yang penuh dengan sifat prasangka dan merasakan sesetengah orang itu membuat kesalahan hanya berdasarkan sangkaannya sahaja.

Marilah kita sama sama membuang perasaan buruk sangka ini kerana boleh merosakkan keharmonian masyarakat kita. Sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 12 yang membawa maksud:“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain dan janganlah kamu mengumpat akan sesetengah yang lain.”

Dr Muhamad Rafiqi Hehsan
Pensyarah Perubatan Pelatih (Anaesthesiology)
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia.