KUALA LUMPUR – Sebuah tren kargo dengan muatan tergelincir berhampiran Stesen Batu Tiga pada pagi tadi sehingga mengakibatkan kedua-dua landasan terhalang sepenuhnya.

Tren yang dalam perjalanan ke West Port, Klang dari Padang Besar, Perlis itu tergelincir ketika melalui landasan di KM20.041.

Bagaimanapun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Rani Hisham Samsudin, tiada kemalangan jiwa melibatkan kakitangan dan orang awam.

Ujar beliau, 11 daripada 50 gerabak telah tergelincir, manakala 39 lagi dengan lokomotif tren masih berada di atas landasan.

“Perkhidmatan KTM Komuter yang melalui laluan tersebut tidak dapat beroperasi ekoran insiden itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu katanya, perkhidmatan komuter bagi laluan Pelabuhan Klang dan Tanjung Malim akan ditamatkan di Stesen Subang Jaya dan Shah Alam.

Tambah beliau, KTMB sedang giat menjalankan kerja-kerja pengalihan gerabak ke lokasi yang lebih selamat bagi membolehkan kerja-kerja membaiki landasan dilakukan serta-merta.

“Siasatan insiden itu juga telah dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian itu
berlaku,”katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan, KTMB menyediakan bas-bas perantara kepada para penumpang dari Stesen Subang Jaya ke Stesen Shah Alam dan sebaliknya bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.-MalaysiaGazette