Dr Mahathir Mohamad

SUDAH genap setahun jatuhnya Kerajaan Pakatan Harapan akibat perbuatan seorang pemimpin yang diharapkan rakyat menegakkan keadilan dan menyelamatkan negara dari belenggu rasuah. Peletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri telah memeranjatkan ahli-ahli politik dari dua belah jurang kerana pada masa itu banyak perkara yang masih kabur.

Secara amnya, Perlembagaan Persekutuan tidak menganggap peletakan jawatan Perdana Menteri sebagai tanda pembubaran Kabinet. Lagi-lagi pun Tun Dr Mahathir telah melepaskan jawatannya secara peribadi dan sukarela. Secara logiknya, Timbalan Perdana Menteri yang akan menjadi pengganti sekiranya tiadanya Perdana Menteri.

Namun begitu, percaturan Tun Dr Mahathir dalam cubaan membentuk sebuah “kerajaan bersepadu” yang terdiri daripada ahli politik dari semua parti tidak menjadi walaupun beliau mengheboh-hebohkan idea itu dengan pengumuman besar bahawa beliau mempunyai sokongan dari dua belah. Ini hanya menunjukkan sikap keangkuhannya yang menyebabkan kemelut politik bertambah buruk.

Apabila Tun Dr Mahathir tidak dikembalikan sebagai Perdana Menteri, beliau melancarkan serangan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin seandai-andainya cuba melakarkan dirinya dikhianati anak-anak buahnya. Perlu ditekankan bahawa Tun Dr Mahathir sendiri yang memberi restu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri.

Sebenarnya Tun Dr Mahathir sepanjang tempoh pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan telah secara senyap-senyap memastikan agenda reformasi Pakatan Harapan akan gagal. Kenyataan beliau mengenai manifesto Pakatan Harapan yang mana beliau kata “manifesto bukan kitab suci” boleh ditafsirkan sebagai ketidakinginan untuk menegakkan keadilan mahupun mengembalikan “rule of law”.

Kita boleh lihat sekarang bahawa Tun Dr Mahathir tidak lagi relevan dalam arena politik negara. Beliau gagal mendaftarkan parti politik baru yang pada permulaan sudah kurangnya menerima sokongan. Jauhnya jatuh seorang gergasi politik yang telah mempengaruhi hala tuju politik negara sepanjang lima dekad lebih.

Tun Dr Mahathir perlu sedar bahawa rakyat sudah muak dengan skema politik, terutamanya pada masa kini di mana ekonomi merosot dan kadar pengangguran melanjur tinggi. Kata-kata manisnya sudah tidak berkesan terhadap rakyat yang kini sudah sedar
bahawa takdir mereka tidak terikat pada ahli politik dan janji kosong mereka.

Andaikan apakah perasaan seorang pengundi yang menaruh harapan kepada Tun Dr Mahathir untuk menegakkan keadilan, mengembalikan Malaysia kepada zaman kegemilangan dan memperkasakan ekonomi dan pembangunan hanya untuk
menyaksikan mimpi ngeri yang bermain sepanjang 22 bulan?

Andaikan perasaan para pengundi yang memberi satu lagi peluang kepada Tun Dr Mahathir untuk memulangkan negara tercinta ke arah kemajuan dan memastikan namanya antara pemimpin yang tersohor dan dihormati semua. Kesemuanya telah hancur dan kini Tun Dr Mahathir bagai tikus membaiki labu.

Pada asalnya ramai yang kata bahawa beliau terlalu tua untuk menyandang jawatan Perdana Menteri. Memandangkan apa yang sudah terjadi, ada kemungkinan kenyataan itu adalah benar. Kenyataan-kenyataan beliau kebelakangan ini yang menuding jari kepada beberapa bekas rakan seperjuangannya untuk kegagalannya sebagai seorang pemimpin.Tun Dr Mahathir perlu mengundur dan memberi laluan kepada orang lain yang lebih cekal minda dan berjiwa rakyat untuk membawa kemajuan dan pembangunan kepada negara.

Zulhilmi Zailani
Pembaca MalaysiaGazette