Inspector-General of Police, Tan Sri Abdul Hamid Bador. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette RM10,000 compound fine cruelty
Inspector-General of Police, Tan Sri Abdul Hamid Bador. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette

IPOH – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan ancaman dadah kepada negara bukan sekadar omong kosong sebaliknya ia kini menjadi barah.

Kata beliau, ratusan anggota polis turut terjebak dalam kancah penagihan itu sekali gus membuktikan ia bakal menjadi ancaman besar jika gagal ditangani.

“Saya kongsikan ancaman dadah ini bukan untuk menambah keanggotaan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi saya mahu masyarakat tahu bahawa ancaman dadah ini amat serius.

“Saya tidak mahu satu hari nanti dituduh gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Negara dalam menangani isu dadah sedangkan saya sudah beri penekanan berhubungnya sejak awal lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Upacara Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli Siri 1/2020 di Lapang Sasar Utama, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din; Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hamid meminta kerajaan meluluskan permohonan pertambahan keanggotaan dalam Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bagi memastikan kegiatan pengedaran dan penagihan dadah dapat diperangi.

“Sudah banyak kali rayuan dibuat berhubung isu tersebut dan kalau mahu saya sediakan tujuh dulang hati nyamuk agar ia diluluskan, saya sedia kerahkan anggota untuk mencarikannya.

“Saya prihatin dengan kewangan kerajaan tetapi penagih dalam negara tidak menyumbang kepada peningkatan ekonomi lebih baik kita banterasnya daripada terus menjadi barah.

“Selain itu, seorang pegawai penyiasat narkotik perlu membuka puluhan kertas siasatan sehari susulan kekurangan keanggotaan dalam jabatan tersebut,” ujar Abdul Hamid.

Pada 27 Ogos lalu media tempatan melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan sekurang-kurangnya 16,000 anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi membanteras penyalahgunaan dadah dilakukan lebih efektif di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ketika ini keanggotaan JSJN di seluruh negara kira-kira 5,000 orang atau hanya lima peratus berbanding anggota dan pegawai di jabatan PDRM lain. – MalaysiaGazette