Hospital Melaka.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hospital Melaka menafikan dakwaan yang tular mengatakan pemberian vaksin Covid-19 melibatkan kumpulan bukan petugas barisan hadapan (frontliners).

Menurut kenyataan hospital itu, sebaliknya seramai 3,000 kakitangannya bakal menerima vaksin secara berperingkat.

“Untuk makluman, bagi Fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Hospital Melaka menerima agihan vaksin Covid-19 secara berperingkat.

“Agihan pertama sebanyak 1,500 penerima akan bermula pada 2 Mac 2021 dan agihan kedua sebanyak 1,500 penerima lagi dijangka bermula pada 16 Mac 2021.

“Secara keseluruhan, sejumlah 3,000 kakitangan akan menerima vaksin Covid-19 iaitu meliputi 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kakitangan Hospital Melaka,” katanya.

Tambah kenyataan itu, vaksin untuk kakitangan lain dalam kategori bukan petugas barisan hadapan akan diagih pada fasa seterusnya.

Pemberian vaksin di hospital berkenaan melibatkan petugas barisan hadapan yang merawat dan menguruskan pesakit Covid-19 termasuk kakitangan yang terlibat dalam mobilisasi perawatan pesakit di wad-wad wabak itu, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) dan Mass Screening Area (MSA).

“Selain itu, penerima juga adalah terdiri daripada pasukan pemberi vaksin (Vaccinator) bagi Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Hospital Melaka,” kata hospital itu.

Dalam pada itu Hospital Melaka berkata, seramai 241 kakitangan Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Melaka (ETDHM) terdiri daripada Pakar, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan dan kategori perjawatan lain telah disenaraikan sebgai penerima vaksin pada fasa pertama.

Ia termasuk 100 kakitangan selain 53 orang Pegawai Perubatan Siswazah, ujarnya.

“Secara keseluruhan, semua kakitangan ETDHM akan menerima vaksin masing-masing kecuali kakitangan yang menolak vaksinasi kerana mempunyai sejarah jangkitan Covid-19 sebelum ini,” tambah hospital itu. – MalaysiaGazette