Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) didakwa akan mengubah semula sistem pengedaran benih padi kepada sistem lama.- Gambar hiasan.

TELUK INTAN – Petani-petani yang menjalankan aktiviti menanam padi di kawasan Seberang Perak gembira terhadap usaha kerajaan yang melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai agensi bertanggungjawab mengedarkan benih padi sah kepada mereka.

Rata-rata yang ditemui menyambut baik usaha itu selain menyifatkannya sebagaiĀ  langkah kehadapan dilakukan pihak kerajaan dalam memastikan padi yang akan dituai petani membuahkan hasil berkualiti.

Malah, ada dalam kalangan petani memberitahu, Insentif Benih Padi Sah (IBPS) daripada program subsidi dan insentif yang diuruskan oleh Kementerian Pertanian dapat membantu golongan pesawah berdaya saing sama seperti bidang-bidang pertanian lain.

Sulaiman Nordin, 60, berkata, semenjak NAFAS mengambil alih sistem pengagihan benih padi sah itu, beliau tidak lagi merasa ragu-ragu dalam mendapatkan bekalan benih padi untuk ditanam disawahnya.

Sulaiman Nordin, penerima Insentif Benih Padi Sah (IBPS) di Kampung Gajah, Perak. Foto HAZROL ZAINAL, 24 FEBRUARI 2021.

Katanya, dia yakin dengan kualiti benih padi yang diperoleh kerana tahu ia sudah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pertanian dan hasil tanaman padi sudah semestinya berkualiti.

“Kalau dahulu kita sukar untuk pastikan gred benih padi yang digunakan, tetapi dengan sistem baharu yang dipantau oleh NAFAS, petani tidak lagi risau dengan tahap kualiti benih yang akan diterima.

“Kami semua mahu hasilkan padi yang berkualiti dan disebabkan itu kami mahu memperoleh benih padi daripada pihak yang bertauliah,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Marzuki Ismail, 52, memberitahu, sistem pengedaran benih padi yang dipantau oleh NAFAS sangat efisien dan bekalan yang diterima juga sudah pastinya bermutu tinggi.

Penerima Insentif Benih Padi Sah (IBPS), Marzuki ismail, 52 di Kampung Gajah, Perak. Foto HAZROL ZAINAL, 24 FEBRUARI 2021.

Malah katanya, dengan cara itu pesawah dapat menghasilkan tuaian padi yang berkualiti sekaligus mengeluarkan beras terbaik kepada pengguna untuk dinikmati.

“Sudah tiba masanya sistem lebih serasi digunakan dalam menghasilkan padi beras negara untuk pasaran tempatan.

“Petani mendapatkan bekalan benih daripada pihak yang berautoriti dan sudah pasti hasil pengeluarannya akan lebih elok berbanding jika menggunakan konsep lama.

“NAFAS memastikan hanya benih yang betul-betul bermutu diedarkan kepada petani dan dengan itu petani dapat menghasilkan beras yang benar-benar berbaloi kepada pengguna,” ujarnya.

Rosli Yahya, 56, pula berkata, pemantauan yang dilakukan oleh NAFAS terhadap benih padi dapat membantu pesawah daripada ditipu oleh pihak-pihak yang berkemungkinan mahu mengambil kesempatan menghasilkan benih padi sendiri sedangkan kualitinya kurang elok.

Penerima Insentif Benih Padi Sah (IBPS), Rosli yahya, 56 di Kampung Gajah, Perak. Foto HAZROL ZAINAL, 24 FEBRUARI 2021.

Katanya, sistem pelabelan yang mendapat kerjasama daripada pihak Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) merupakan kaedah sistematik yang digunakan oleh NAFAS bagi mengelakkan berlakunya aktiviti cetak rompak.

“Ini merupakan satu kaedah yang cekap digunakan oleh NAFAS dalam memastikan benih padi yang akan sampai kepada kami terjamin kualitinya.

“Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mempastikan permintaan dapat dipenuhi dan kami golongan petani dan pesawah juga mempunyai mempunyai tanggunjawab sama iaitu menghasilkan padi yang terjamin kualiti.

“Kami tidak perlu risau kerana dengan adanya sistem yang diguna pakai oleh NAFAS ketika ini tahap keselamatan dan jaminan kualiti sangat terjaga dan berkesan,” ujarnya yang telah telah terlibat dengan tanaman padi sejak 30 tahun lalu.

Penerima Insentif Benih Padi Sah (IBPS), Md Nazir Awang, 38 di Kampung Gajah, Perak. Foto HAZROL ZAINAL, 24 FEBRUARI 2021.

Sementara itu seorang lagi pesawah Md Nazir Awang, 38, menzahirkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana prihatin terhadap perkembangan kemajuan petani khususnya terhadap golongan pesawah.

Beliau yang baru sahaja berkecimpung dalam bidang tanaman padi mengharapkan agar usaha dilakukan oleh pihak NAFAS selaku agen yang menguruskan benih padi sah dapat menyediakan bekalan secukupnya untuk kegunaan petani.

Ia sejajar dengan permintaan semasa yang tinggi terhadap beras dan golongan pesawah mempunyai tanggungjawab untuk mempastikan bekalan sentiasa mencukupi.

“Kami sangat berharap kaedah yang digunakan oleh kerajaan dengan melantik NAFAS sebagai pembekal benih padi sah tidak akan menimbulkan masalah kepada petani dan pesawah untuk mendapatkan bekalan bila mana ia diperlukan.

“Kami yakin langkah kerajaan ini akan dapat membantu golongan petani sekaligus meningkatkan produktiviti hasil tanaman padi yang memberangsangkan dari semasa ke semasa,” tambahnya. – MalaysiaGazette