Ahmad Zahid Hamidi wizard frogs PAS UMNO Abdul Hadi Awang ducks Mohd Puad Zarkashi Parti Kuasa Rakyat politics
Mohd Puad Zakarshi

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memperoleh perintah injunksi sementara bagi menghalang anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah membabitkan perdana menteri itu berhubung perintah kuarantin di akaun Facebook milik Mohd Puad.

Peguam Rosli Dahlan yang mewakili Muhyiddin berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan Muhyiddin petang ini yang turut dihadiri peguam Datuk D.P. Naban dan Louis Liaw, juga mewakili Muhyiddin.

“Writ saman difailkan pagi ini dengan sijil perakuan segera untuk mendengar notis permohonan bagi injunksi sementara. Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan injuksi sementara itu sementara menunggu perbicaraan inter-parte (antara pihak) yang ditetapkan pada 12 Mac,” katanya kepada Bernama melalui pesanan aplikasi WhatsApp.

Dalam notis permohonan ex-parte difailkan bersama dengan writ saman hari ini, Muhyiddin memohon perintah injunksi bagi menghalang Mohd Puad selaku defendan atau ejennya, wakilnya atau sesiapa sahaja daripada menerbitkan, menyiarkan dan berkongsi  semula hantaran membabitkan kenyataan fitnah berhubung perkara itu menerusi akaun Facebook milik Mohd Puad.

Muhyiddin memfailkan permohonan atas alasan penghantaran yang dibuat oleh Mohd Puad adalah palsu, memfitnah dan telah menyebabkan reputasi dan nama baik perdana menteri itu di Malaysia dan peringkat antarabangsa terjejas.

Muhyiddin berkata permohonan itu perlu dibuat secara ex-parte kerana jika notis diberikan kepada defendan terdapat risiko bahawa defendan akan mensensasikan permohonan berkenaan menyebabkan pembaca akan berkongsi lanjutan hantaran tersebut.

Sementara itu, Muhyiddin yang memfailkan writ saman dan penyataan tuntutannya menerusi Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership, atas kapasiti peribadinya hari ini mendakwa pada 9 Feb lepas, Mohd Puad telah menerbitkan suatu hantaran di laman Facebooknya di bawah nama “DrPuad Zarkashi” bertajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’.

Dalam saman itu Muhyiddin yang merupakan plaintif mendakwa hantaran itu boleh diakses oleh pengguna internet di seluruh dunia dan telah menerima lebih daripada 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.

Muhyiddin mendakwa hantaran itu merujuk kepada “PM” iaitu singkatan kepada prime minister atau perdana menteri selain mendakwa hantaran itu mengandungi penyataan yang jelas sekali tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat terhadap plaintif serta telah memfitnahnya.

Muhyiddin mendakwa perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif dan rombongan enggan dikuarantin selama 10 hari setelah mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia.

— BERNAMA